.

Ahad, 22 Februari 2009

KADAR INFLASI NAIK 3.9 PERATUS JANUARI

____________________________________________________________________
Kadar inflasi pada Januari tahun ini meningkat sebanyak 3.9 peratus berbanding 2.3 peratus pada bulan yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, inflasi turun 0.1 peratus berbanding Disember 2008, demikian menurut Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan di sini.

Ia menyifatkan inflasi yang lebih tinggi pada Januari disebabkan oleh kenaikan indeks semua kumpulan utama kecuali pengangkutan, pakaian dan kasut serta komunikasi, yang masing-masing turun pada 2.1, 0.8 dan 0.5 peratus.

Peningkatan yang ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah makanan dan minuman bukan alkohol yang naik 9.8 peratus dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.7 peratus), katanya.

Kenaikan lain ialah indeks minuman alkohol dan tembakau yang naik 8.3 peratus, hiasan, perkakasan dan penyenggaraan isi rumah menambah 4.9 peratus, restoran dan hotel menokok 4.6 peratus manakala pendidikan meningkat tiga peratus.

Peningkatan 9.8 peratus dalam indeks untuk makanan dan minuman bukan alkohol adalah akibat daripada kenaikan indeks makanan di rumah (11 peratus), makanan di luar rumah (8.6 peratus) dan kopi, teh, koko dan minuman bukan alkohol (4.2 peratus).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, kadar inflasi susut disebabkan oleh penurunan dalam dua kumpulan utama iaitu pengangkutan (1.5 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan yang susut 0.1 peratus.

- UTUSAN-
____________________________________________________________________

Tiada ulasan: