.

Ahad, 22 Februari 2009

APA SUDAH JADI??? : HARUSSANI DAKWA TERUS DICERCA

____________________________________________________________________
Datuk Seri Harussani Zakaria mendedahkan, beliau dicerca dan dimaki pembangkang hanya kerana keengganannya menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, memohon agar dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Mufti Perak itu berkata, apabila berlaku perubahan pada kepimpinan kerajaan negeri, ramai wakil pembangkang datang menemui beliau agar menggunakan pengaruh memujuk Sultan memihak kepada mereka.

''Saya kata, apa kena mengena hal politik dengan saya, saya tidak ada kena mengena dengan politik. Kalau pasal agama sudah tentu saya datang, malah kalau tidak dipanggil pun saya akan datang menghadap Tuanku.

"Dalam bab peralihan kerajaan negeri, saya tidak campur sepatah perkataan pun dan sejak kejadian (pertukaran kerajaan negeri), saya tidak pernah berjumpa Sultan," katanya kepada Utusan Malaysia di Ipoh hari ini.

Beliau mengulas tindakan penyokong parti pembangkang yang sanggup mencerca dan memaki beliau di Internet termasuk menuduhnya 'anjing' ekoran kenyataannya, 'sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap menderhaka'.

Terbaru kata Harussani, beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) fitnah, kononnya beliau pernah berkata dalam salah satu ceramahnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan bomoh Hindu untuk menundukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya pernah tengok tuduhan itu dulu (dalam Harakah). Saya pernah ditanya tentangnya, saya pernah cakap saya tak tahu ia betul atau tidak," jelas beliau.

Kata Harussani, fitnah itu cukup berat dan sebagai orang Islam, beliau mengingatkan pihak yang berkenaan supaya patuh kepada ajaran Islam dan bukannya mengikut emosi semata-mata.

"Perbuatan menuduh seseorang itu kafir atau munafik, jika tidak benar, ia akan berbalik kepada orang yang menuduh itu," tegas beliau.

Ada juga, kata Harussani, menuduh beliau menerima RM50 juta kerana membuat kenyataan tentang derhaka itu.

"Kalau saya dapat wang sebanyak itu, saya berhenti kerja dan duduk di Mekah. Biar saya mati di sana. Saya sudah 70 tahun, berjalan pun bukan kuat sangat lagi.

"Saya cuma sampaikan apa yang saya fahami dalam al-Quran iaitu hendaklah taat kepada Allah, Rasul dan pemimpin. Tetapi ada syarat, selagi mana tidak menyuruh melakukan maksiat," jelas beliau.
____________________________________________________________________

Tiada ulasan: