.

Khamis, 28 April 2011

DEWAN BEDAH TERCANGGIH DI MALAYSIA


Pembangunan dewan bedah berteknologi tinggi di negara ini dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih bukan sahaja mampu meningkatkan taraf kesihatan ke tahap yang lebih tinggi malah, boleh menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Usaha yang dilakukan Pusat Perubatan Universiti kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak beberapa tahun lalu kini patut diberi pujian kerana mereka berjaya membangunkan sebuah dewan bedah berdefinisi tinggi (HD) yang dinamakan OR1 bagi memastikan pesakit dibedah dalam suasana yang lebih selamat.

Ruang kondusif dan peralatan penyelesaian lebih ergonomik pula dibekal oleh syarikat penyediaan peralatan pembedahan, Karl Storz dari Jerman menjadikan bilik bedah OR1 lebih dinamik. Ia sekali gus menggalakkan pelancongan kesihatan yang semakin popular hari ini.

Istimewanya dewan itu kerana berupaya membantu pakar bedah menjalankan pembedahan melalui pengawalan sistem peralatan perubatan selain boleh mengadakan lintas langsung atau telekonferens dengan pakar sama ada di dalam atau luar negara.

Timbalan Pengarah Pusat Kemahiran Pembedahan Lanjutan (ASSC) PPUKM, Prof. Dr. Hanafiah Harunarashid memberitahu, OR1 merupakan teknologi pertama di Asia Tenggara dan Malaysia sangat bertuah menjadi negara pertama menggunakannya.

Menurut beliau, pakar bedah juga mampu meminimumkan kesilapan ketika melakukan pembedahan laparoskopik dan endoskopik kerana mereka berupaya mengawal penuh sistem komputer, kuasa lampu, suhu dewan bedah dan sebagainya.

Kata beliau, perkembangan teknologi dewan bedah tersebut yang menggunakan aplikasi elektronik membolehkan operasi bedah berjalan lebih lancar dan mudah berbanding dewan bedah terdahulu yang kurang teratur.

Kata pakar bedah itu lagi, walaupun teknologi laparoskop yang digunakan ketika pembedahan laparoskopik dibangunkan sejak tahun 1980-an tetapi, pada ketika itu hanya melibatkan alatan asas berbanding teknologi terkini yang banyak mengaplikasi aspek elektronik.

Skrin HD dan sentuh

“Dewan bedah itu dianggap istimewa kerana kita menggunakan peralatan paling canggih. Jadi, kita boleh lakukan pembedahan laparoskopik tanpa membuat pembedahan terbuka lagi.

“Paparan skrin berdefinisi penuh sangat jelas berbanding sebelum ini bahkan, kita boleh menggunakan alat dengan lubang sekecil lima milimeter (mm) untuk memasukkan peralatan ke dalam tubuh manusia dan hampir tiada luka,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan sistem yang hanya terdapat di PPUKM, Hanafiah berkata, semua pakar bedah perlu membuat pendaftaran sebelum menggunakan dewan bedah OR1 melalui sistem komputer.

“Sebagai contoh mudah, semua peralatan itu seperti checkpoint kapal terbang. Selagi semua tidak di set dengan baik, ia tidak boleh berlepas, ini semua bagi memastikan tiada masalah kelak,” ujarnya.

Tambah Hanafiah, pakar bedah juga boleh mengawal pelbagai peralatan seperti lampu, kamera dan sebagainya seperti diinginkan mereka dengan hanya menyentuh paparan skrin umpama gajet iPhone atau iPad.

Dedah beliau, melalui OR1, pakar bedah juga mampu melakukan pembedahan secara bersendirian tanpa bantuan jururawat, namun perkara itu bergantung kepada jenis pembedahan.

Kesesuaian dewan bedah itu juga dilengkapi kemudahan telekonferens bagi pembedahan yang lebih kompleks. Sekiranya seseorang doktor memerlukan pandangan pakar yang berada jauh beribu kilometer sekali pun, mereka boleh berbincang melalui sidang video sahaja.

“Kita juga boleh melakukan pelbagai jenis pembedahan yang sebelum ini mungkin sukar dilaksanakan dan kini kita boleh lakukannya.

“Sebagai contoh, dengan teknologi buatan Jerman ini kita boleh melakukan pembedahan untuk bayi berusia seawal dua bulan sama ada yang mempunyai masalah paru-paru, ginjal, hati atau pun pankreas,” katanya.

Antara kelebihan melakukan pembedahan menerusi OR1 adalah pesakit cepat sembuh, kesakitan serta pendarahan juga kurang kerana potongan dilakukan secara minimum.

Bukan itu sahaja, pada hari pembedahan juga, pesakit sudah boleh pulang. Bagi orang dewasa, dua hari selepas pembedahan mereka boleh meneruskan kerja kembali.

Berbanding pembedahan yang dilakukan secara terbuka, selain rasa lebih sakit, pesakit akan ditahan di unit rawatan rapi (ICU) lebih daripada seminggu selepas pembedahan.

Bagaimanapun ujar Hanafiah, secanggih mana peralatan itu pasti terdapat kekangan yang menghalang. Salah satunya kekurangan tenaga mahir untuk menggunakannya kerana sistem berkenaan masih baru.

“Justeru, kami memerlukan lebih ramai pelatih dan sebab itu juga ASSC memperuntuk 12 makmal di kompleks yang turut menempatkan OR1 bagi melatih mereka mengendalikan alat itu dengan mahir.

“Kita tahu, pembedahan laparoskopik jika tidak dilatih dengan baik boleh membawa banyak kemudaratan kepada pesakit. Oleh itu, mereka perlu dilatih sebaik mungkin,” ujarnya.

(KOSMO!)

Tiada ulasan: