.

Jumaat, 18 Mac 2011

LEBIH BAIK TIDAK BINA LOJI KUASA NUKLEAR : DR. M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak perlu memiliki sebuah loji tenaga nuklear.

"Anda tahu pandangan saya tentang hal ini. Kita tidak begitu arif mengenai reaksi bahan ini," katanya kepada pemberita bila ditanya tentang pandangannya berhubung loji seumpama itu.

Dr Mahathir berkata, radiasi yang bocor dari loji tenaga nuklear Jepun yang terjejas akibat tsunami setelah gempa dengan kekuatan magnitud 9.0, menyokong pandangannya itu.

"Sebaik saja dihidupkan, ia menjadi radioaktif. Orang tidak tahu bagaimana untuk mengendali bahan buangannya," katanya.

Dr Mahathir menarik perhatian ketika beliau menjadi perdana menteri, kerajaan telah memutuskan empat strategi bahan bakar iaitu minyak, gas, arang batu, hidro, dan "tidak termasuk nuklear". "Kita sudah pun mempunyai pengalaman buruk dengan nuklear. Saya tidak tahu apakah orang sedar tentang hal itu," katanya.

Ditanya apakah beliau akan menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak membina loji tenaga nuklear, Dr Mahathir berkata, "Saya bukan penasihat. Sebab itu saya gunakan blog."

Malaysia bercadang membina dua loji seumpama itu yang masing-masing akan menjana kuasa 1,000 megawatt dengan loji pertama sedia untuk beroperasi pada 2021 dan yang kedua setahun kemudian.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas melancarkan Bangunan Lestari Kumpulan EMKAY, Cyberjaya.


Kabinet Akan Putuskan Mengenai Loji Kuasa Nuklear

Keputusan sama ada Malaysia akan meneruskan cadangannya untuk membina dua loji kuasa nuklear akan dibuat selepas Kabinet menilai kertas kerja yang akan diserahkan kepada Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, sama ada cadangan rancangan itu diteruskan atau tidak, bukan beliau yang memutuskannya.

"Kabinet yang akan memutuskannya. Kami perlu menunggu laporan yang akan dibentangkan kepada Kabinet," katanya.

Chin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan basikal elektrik yang dikeluarkan oleh Eclimo Sdn Bhd, di Kuala Lumpur, Rabu.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Chin berkata penggunaan pakai teknologi hijau penting kerana ia merupakan satu-satunya cara bagi mencapai pembangunan dan pertumbuhan mampan.

Beliau berkata, kerajaan merasakan teknologi hijau memainkan peranan penting dalam menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada perubahan iklim.

"Teknologi hijau adalah tindakan proaktif terbaharu kerajaan untuk merangsang industri dan institusi untuk menjadi penginovasi eko-teknologi dalam bidang reka bentuk eko, bahan material eko, produk dan perkhidmatan eko serta teknologi hijau karbon rendah," katanya.

Beliau berkat,a kementeriannya ketika ini sedang menyediakan Pelan Hala Tuju Prasarana Kenderaan Elektrik dan Program Kenderaan Ujian Armada di Putrajaya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Chin berkata memperkatakan tentang 'inisiatif hijau' tidak akan lengkap tanpa menangani isu-isu kecekapan tenaga.

"Justeru itu, di bawah Pelan Induk Kecekapan Tenaga, kerajaan menyasar kecekapan tenaga dalam sektor pengangkutan.

"Saya percaya inisiatif yang diambil akan menyediakan persekitaran kondusif bagi pembangunan kenderaan elektrik dalam sektor pengangkutan termasuk basikal elektrik," katanya.

(BERNAMA)


Tiada ulasan: