.

Jumaat, 11 Februari 2011

JAKIM LANCAR KEMPEN ANTI HARI VALENTINE

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melancarkan Kempen Awasi Jerat Hari Valentine di sini Jumaat untuk mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih itu Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata program itu diadakan untuk menyebarkan dakwah dengan meluas mengenai sambutan itu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Stesen televisyen juga perlu memainkan peranan melalui pengisian program yang bersesuaian supaya dapat memberi pemahaman yang jelas kepada umat Islam mengenai perkara itu, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan majlis Wacana Inovasi Dakwah Melalui Penyiaran di sini.

Mengenai hasrat PAS untuk mengadakan kawalan pada malam Hari Valentine untuk membendung gelaja tidak bermoral, Jamil Khir berkata pihak terbabit perlu menjelaskan tindakan itu secara terperinci.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata satu taklimat khas akan diadakan untuk pelajar Malaysia di Mesir yang baru pulang ke tanah air bagi mengikis tanggapan bahawa Ops Piramid, misi menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir, yang dijalankan kerajaan adalah mempunyai unsur politik.

Katanya taklimat itu akan diadakan dengan kerjasama agensi-agensi serta jabatan kerajaan supaya tidak ada mana-mana pihak yang terus terpedaya dengan dakwaan itu.

Sementara itu beliau berkata kerajaan kini dalam peringkat perbincangan untuk menjalinkan kerjasama dengan Astro bagi membolehkan orang ramai menonton siaran TV Al-Hijrah melalui stesen televisyen berbayar itu.

"Dijangka pada bulan April ini sebab sudah ada perbincangan awal dan Astro sudah memberikan harapan bahawa mereka cuba membantu mendapatkan siaran," katanya.

(BERNAMA)

Tiada ulasan: