.

Sabtu, 1 Januari 2011

LEBIH 100 SEKOLAH SERTAI ANUGERAH AGRO REMAJA@SEKOLAH UTUSAN


Nordin Abdul Malek (berdiri dua dari kiri) pada mesyuarat pemilihan senarai pendek calon Anugerah Agro Remaja@Sekolah di pejabatnya di Ayer Keroh, semalam.
Pemberita : Norizan Abdul Muhid


MELAKA 28 Dis. - Anugerah Agro Remaja@Sekolah tajaan akhbar Utusan Malaysia dan Institut Skill-Tech (Skill-Tech) mendapat penyertaan lebih 100 sekolah menengah seluruh negara biarpun baru pertama kali diperkenalkan tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek (gambar) berkata, penyertaan yang mula dibuka sejak Oktober lalu itu mendapat sambutan menggalakkan malah pada peringkat awalnya pihaknya menerima lebih banyak borang penyertaan berbanding sedia ada.

Namun menurutnya, sebahagian besar penyertaan pihak sekolah terpaksa ditolak memandangkan peserta gagal mematuhi syarat seperti menyediakan kertas kerja dan pembentangan kerja secara berkomputer.

''Kita jangkakan, jika program anugerah ini diteruskan tahun depan, saya yakin, jumlah penyertaan sekolah yang menyertai program ini akan bertambah lebih banyak kerana ia membolehkan pihak sekolah membuat persediaan lengkap untuk menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada mesyuarat pemilihan senarai pendek Anugerah Agro Remaja@Sekolah di sini hari ini.

Menurut Nordin, mesyuarat itu akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bagi memilih 16 sekolah yang layak untuk dilawati sebelum penentuan pemenang dilakukan oleh panel juri anugerah.

Ujarnya, sekolah yang layak bergelar juara akan dibuat berdasarkan lawatan oleh pihaknya pada akhir Januari tahun depan.

Kata beliau, majlis penyampaian pemenang Anugerah Agro Remaja@Sekolah dijangka dilaksanakan di Melaka dengan kerjasama kerajaan negeri pada akhir bulan Februari tahun depan.

''Tujuan kita anjurkan anugerah ini ialah untuk menggalakkan generasi muda terutama dalam kalangan pelajar agar meminati bidang pertanian dan menjadikan ia sebagai kerjaya mereka apabila tamat sekolah nanti.

''Bagi jangka panjang, kita mahu membantu kerajaan untuk mengurangkan import makanan dengan membantu generasi muda menghasilkan tanaman bagi menampung keperluan negara," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, usaha itu bagi mewujudkan keyakinan di kalangan guru dan pelajar sekolah harian bagi terlibat menyertai pertandingan seperti itu yang sebelum ini dikuasai sekolah berkemahiran khusus.

Selain itu, kata Nordin, usaha pihaknya menganjurkan anugerah itu merupakan sebahagian daripada kerjasama jangka panjang dengan akhbar Utusan dalam mengembangkan program pertandingan AgroXRace yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.

Anugerah Agro Remaja@Sekolah menyediakan empat kategori iaitu landskap, pemprosesan makanan, ternakan atau perikanan dan tanaman dengan tempat pertama setiap kategori menerima wang tunai RM2,000.

Tempat kedua menerima RM1,500 dan tempat ketiga sebanyak RM1,000 manakala wang tunai berjumlah RM10,000 serta piala iringan diberi kepada pemenang keseluruhan anugerah tersebut.

(Utusan)

Tiada ulasan: