.

Khamis, 20 Januari 2011

578 GURU SANDARAN SABAH MINTA SAMBUNG KONTRAK

Pengerusi GSTT dakwa sekolah hadapi kekurangan 19 guru

PUTRAJAYA: Seramai 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang tamat kontrak akhir tahun lalu mengharapkan Kementerian Pelajaran menyambung semula perkhidmatan mereka seperti dijanjikan.

Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Norman Lantayan, berkata awal bulan lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi memberi jaminan kementerian tidak memberhentikan sebahagian daripada 12,000 guru terbabit yang tamat kontrak, tahun lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami belum menerima surat tawaran sambungan kontrak perkhidmatan yang menyebabkan ada sekolah kekurangan guru sehingga 19 orang,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Terdahulu, Norman bersama pemimpin GSTT Sabah menyerahkan memorandum rayuan sambungan perkhidmatan kepada Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Yusuf Haniff untuk diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya di sini.

Hadir sama, Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Junaidi Paik.

Sebelum ini jawatankuasa terbabit pernah mengadakan perbincangan dengan Mohd Puad untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah mereka.
Norman berkata, penamatan kontrak GSTT di negeri itu menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk menyebabkan kekurangan 19 guru di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Lahad Datu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom (13) dan SMK Tandek, Kota Marudu (11).

Katanya, berdasarkan maklum balas daripada pihak sekolah, GSTT komited melaksanakan tugas dan amanah mendidik untuk membantu memperkasakan pengetahuan pelajar di Sabah.

“Biarpun tidak terlatih, guru sandaran terbabit bekerja keras meningkatkan pengetahuan, termasuk menimba ilmu daripada guru berpengalaman di sekolah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Jamawi yakin Timbalan Perdana Menteri dapat menyelesaikan masalah guru terbabit dengan mengambil kira isu kekurangan guru di sekolah yang sebelum ini menggunakan perkhidmatan mereka.

“Jasa dan sumbangan mereka banyak membantu kerajaan memperkasakan modal insan menerusi pendidikan. Komitmen tinggi mereka perlu dihargai, termasuk menerima tugasan di kawasan pedalaman yang serba kekurangan,” katanya.

Tiada ulasan: