.

Jumaat, 5 November 2010

DOLAR SEPERTI TISU TANDAS - Dr. M

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Penggunaan dinar emas perlu dipertimbangkan oleh semua kerajaan negara dunia kerana kestabilan nilainya berbanding penggunaan mata wang yang tidak menentu naik turunnya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah menggunakan dinar emas sebagai ganti mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai transaksi juga boleh menghentikan perang mata wang

Katanya, dolar AS kini sudah tidak bernilai seperti mana beberapa tahun dahulu dan penggunaan mata wang kertas juga tiada lagi sehebat sebelum krisis ekonomi pada tahun 1997/98 dan penggunaan dinar emas adalah jalan penyelesaian terbaik.

“Mata wang AS kini boleh dianggap sebagai tisu tandas kerana nilainya semakin menyusut dan tidak berharga berbanding emas yang diterima di semua negara dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau, penyusutan nilai dolar AS pada ketika ini menjadi satu masalah yang cukup besar kepada negara-negara yang menyimpan dan bergantung kepada nilai mata wang itu.

“Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, pasti akan ada perang mata wang dan sudah tentu, menyumbang kepada krisis,” katanya.

Beliau tetap berpegang bahawa emas mempunyai nilai kukuh dan merupakan nilai yang lebih baik berbanding mata wang.

“Mata wang tidak ada sokongan kecuali dicari oleh orang ramai. Sekiranya negara-negara mula menurunkan nilai mata wang mereka, akan berlaku kekecohan dalam perdagangan antarabangsa,” kata Dr. Mahathir.

Antara gesaan beliau kepada negara Islam ialah menggunakan dinar emas sebagai alternatif, bagi mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS sebagai mata wang global untuk perdagangan.

(Utusan Malaysia 2/11/2010)

Tiada ulasan: