.

Isnin, 22 November 2010

DILEMA PENEMPATAN GURU

Masalah penempatan guru memang rumit untuk diselesaikan. Ia menjadi bertambah sulit apabila terdapat segelintir daripada 400,000 guru yang masih dalam perkhidmatan memohon bertukar sekolah dengan alasan yang kurang wajar.

Rata-rata mahu mengajar di sekolah yang dekat dengan rumah. Lalu mereka cenderung menjadikan alasan rumah sedia ada atau rumah yang baru dibeli berhampiran sekolah sebagai sebab untuk bertukar tempat mengajar.

Sememangnya semua orang dalam apa jua profesion pun menginginkan jarak tempat tinggal yang berhampiran dengan tempat kerja. Jimat masa dan jimat kos.

Namun, kita juga perlu profesional kerana penempatan guru adalah berdasarkan keperluan perkhidmatan. Bukannya mengikut kesesuaian tempat tinggal.

Faktor ini penting demi meminimakan masalah kekurangan guru di kawasan luar bandar dan pedalaman tetapi terlebih guru di sekolah tertentu di kawasan bandar.

Misalnya, satu sekolah hanya memerlukan tiga guru Matematik tetapi terdapat lima guru di situ. Jika opsyen kedua semua guru ini berbeza, maka mereka boleh mengajar subjek yang lain. Tiada masalah.

Sebaliknya, masalah akan timbul jika ada pertindihan opsyen. Ia membabitkan guru terbabit, pengurusan sekolah dan Kementerian Pelajaran. Akhirnya pelajar menjadi mangsa keadaan, diajar oleh guru yang tidak terlatih dalam subjek berkenaan.

Justeru, bertukarlah dengan alasan yang konkrit seperti disebabkan isu keselamatan atau faktor kesihatan.

Contoh isu keselamatan ialah hal yang berbangkit akibat keganasan rumah tangga. Misalnya seorang guru wanita menerima ugutan dan ancaman daripada bekas suami. Bila ini berlaku memang wajar dan ada keperluan untuk beliau berpindah ke sekolah lain.

Manakala dalam masalah kesihatan pula mestilah yang melibatkan sakit kronik dan memerlukan rawatan rapi. Kemudahan perubatan mungkin hanya terdapat di hospital di kawasan bandar sahaja.

Bagaimanapun, ia terhad kepada guru itu sendiri dan ahli keluarga terdekatnya iaitu anak, suami atau isterinya sahaja.

Ibu bapa tidak termasuk dalam kategori ini. Rasionalnya, tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur perlu dipikul bersama dan bukannya diletakkan kepada guru berkenaan sahaja.

Selain itu, alasan mengikut suami perlu diberi keutamaan agar tumpuan guru terbabit tidak terjejas. Ia juga bagi memastikan guru itu dapat memberikan prestasi yang tinggi dan terbaik untuk para pelajarnya.

Jelas di sini, Kementerian Pelajaran menitikberatkan tahap kemanusiaan yang tinggi dalam penempatan para guru supaya kebajikan mereka terbela.

Hal ini secara tidak langsung akan memotivasikan guru untuk komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, pertukaran guru juga dilakukan secara pentadbiran. Sebagai contoh, jika Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mendapati ada lebihan seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah A dan sekolah B memerlukannya. Maka guru tersebut akan dipindahkan ke sekolah B walaupun beliau tidak membuat sebarang permohonan pertukaran tempat mengajar.

Bagi guru yang memohon pertukaran secara atas talian, keputusan telah pun diumumkan. Kepada yang berjaya, selamat mencurah bakti di sekolah yang baru. Kepada yang kurang bernasib baik, bersabar dan jika perlu, buatlah rayuan.

Bila membuat rayuan pastikan mengikut etika dan tatacara urusan rasmi. Jangan dibawa bayi atau anak kecil ke pejabat. Apatah lagi ibu atau bapa yang uzur. Ia boleh mengganggu ketenteraman dan menjejaskan urusan pihak lain. Malah ia mungkin menjejaskan tugasan lain pegawai terbabit.

Memadai dengan menyediakan dokumen sokongan untuk rujukan pihak yang berkenaan. Bukti itu sudah mencukupi tanpa perlu ditambah dengan elemen emosi dan simpati.

(UTUSAN MALAYSIA)

Tiada ulasan: