.

Khamis, 21 Oktober 2010

MELAKA KINI NEGERI MAJU

Melaka pada Rabu diisytiharkan secara rasmi sebagai Negeri Maju 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pengisytiharan status negeri maju itu dibuat menerusi persidangan video secara langsung antara Najib yang berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Stadium Hang Tuah Melaka, tepat pukul 8.15 malam tadi.

“Saya bagi pihak kerajaan Persekutuan sangat berbangga di atas pengisytiharan Melaka sebagai sebuah negeri maju. Pencapaian ini adalah selari dengan Wawasan 2020 menerusi empat tonggak utama yang telah digariskan,” katanya pada sidang video yang disiarkan secara langsung oleh Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Yaakob, Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), John Hall, Presiden MIC, Tan Sri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata, rakyat Melaka harus berbangga kerana impian untuk menikmati status negeri maju sudah pun dicapai atas usaha Ketua Menterinya.

“Rakyat Melaka harus berbangga kerana memiliki seorang pemimpin yang kuat bekerja dan berwawasan dalam usaha membangunkan Melaka.

“Sudah tentu usaha beliau ini akan mendapat sokongan yang padu daripada kerajaan Persekutuan. Tahniah kepada kerajaan dan rakyat negeri Melaka. Dengan lafaz Bismillah saya dengan ini mengisytiharkan Melaka sebagai Negeri Maju 2010,” katanya.

Pengisytiharan tersebut dibuat selepas Melaka memenuhi 32 indikator mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh OECD yang berpangkalan di Paris.

Melaka muncul sebagai negeri yang mencatatkan kadar pengangguran, kemiskinan dan kadar jenayah yang paling rendah dikalangan 33 negara anggota.

Sementara itu, Mohd Ali turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa merasmikan pengisytiharan Melaka Negeri Maju 2010.

Terdahulu, Mohd Ali mengumumkan esok sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Melaka sebagai tanda penghargaan kepada rakyat negeri itu yang bekerja keras untuk mencapai status negeri maju.

Beliau berkata cuti khas itu juga terpakai kepada sektor swasta.

(MSTAR)

Tiada ulasan: