.

Isnin, 26 Julai 2010

ISU GURU - BERUNDING SELESAI MASALAH

Jika dulu guru dinobat golongan paling dihormati, kini semakin diperlekehkan dengan pelbagai isu remeh dan kurang menyenangkan.

Imej semakin tercalar apabila masyarakat kian berani mencabar, sekali gus mempertikaikan kewibawaan guru hingga pergeseran semakin parah.

Pelajar menjadi sasaran yang sering dipersalahkan sementara sekolah berada dalam dilema. Masing-masing cuba menegakkan kebenaran hingga mewujudkan suasana kurang harmoni dan mengganggu proses pembelajaran.

Ini gus mengundang persoalan, begitu mudahkah masyarakat memperkotak-katikkan institusi pendidikan negara? Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya UM), Profesor Dr Saedah Siraj berkata guru tonggak utama merencanakan proses pencarian ilmu manakala pelajar dan masyarakat mekanisme terpenting menyokong proses itu.

Menurutnya, proses pendidikan berjalan lancar seandainya kedua-dua pihak saling menyokong dan memudahkan matlamat melahirkan generasi cemerlang peribadi dan akademik.

"Perbalahan menyebabkan proses pendidikan terganggu selain merencatkan perancangan apatah lagi menimba ilmu perlu berlangsung secara harmoni dan tenang.

"Campur tangan tentunya memburukkan lagi keadaan dan merugikan semua pihak kerana ada yang tidak bersalah menjadi mangsa hingga mengundang tanggapan negatif pihak luar.

"Berbincang dan bersikap profesional agar semua pihak mendapat manfaat," katanya.

Mengakui bukan sukar mencari mekanisme 'mendamaikan' kedua-dua pihak, beliau menyarankan sikap berkecuali dan fokus pada tanggungjawab sebenar.

"Guru wajar diberi kepercayaan menjalankan tanggungjawabnya, masyarakat pula perlu percaya pada kemampuan guru. Jangan asyik mempertikaikan keputusan atau bersikap menyalahkan orang lain.

"Sukar melaksanakan tugasan jika sentiasa ditekan, justeru, bersikap adil dengan memberi ruang mencorakkan tanggungjawab masing-masing.

"Jika tidak puas hati, buat teguran, tetapi gunakan saluran betul bukan emosi. Ramai mudah melenting hingga tiada sikap profesional antara satu sama lain," katanya.

Dr Saedah berkata ibu bapa juga berhak menyuarakan rasa tidak puas hati.

Bagaimanapun, tindakan atau komunikasi terburu-buru boleh mewujudkan suasana keruh apatah lagi sekolah atau guru enggan bekerjasama.

"Ada yang bersikap prejudis hingga mencabar kesabaran ibu bapa. Berkomunikasi dengan baik, bina kerjasama untuk menjernihkan suasana. Penyelesaian perlu berpaksi pada kewarasan," katanya.

Perunding motivasi sebuah institusi pendidikan, Lukman Moidin pula berkata masyarakat perlu akur semua pihak berisiko terdedah kepada konflik.

Katanya, masyarakat perlu adil dalam mempersoalkan kredibiliti guru dan jangan menghentam sesuka hati hanya berdasarkan cerita sebelah pihak.

"Sesiapa saja boleh berdepan konflik, justeru, jangan bertindak melulu. Setiap institusi tentu ada saluran tertentu untuk menyelesaikan masalah.

"Rasa marah boleh menjatuhkan maruah dan pelajar menjadi mangsa kerana terpaksa berdepan sikap tidak profesionalisme orang dewasa.

"Ada ibu bapa suka memenangkan anak walaupun melanggar peraturan hingga 'naik lemak' dan besar kepala. Guru pula tercabar.

"Memburukkan lagi keadaan apabila kedua-duanya saling berbalah. Apabila dua pihak bertelingkah, apa terjadi pada institusi sekolah? "Sudah tentu matlamat mewujudkan generasi cemerlang akhlak dan peribadi gagal. Semaikan semula sikap saling menghormati, barulah harmoni hubungan," katanya yang turut menyarankan guru agar sentiasa bermuhasabah diri.

"Setiap pekerjaan ada tekanan, tapi jangan jadikannya punca persengketaan. Pelajar juga jangan ambil kesempatan mengeruhkan situasi," kata Lukman.

(HARIAN METRO)


Tiada ulasan: