.

Sabtu, 26 Jun 2010

PERMUDAH PENGAMBILAN GURU: KSN

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mahu proses pengambilan guru dipermudahkan dan dilakukan secara terus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), pada masa depan.

Mohd Sidek berkata, langkah ini perlu kerana semakin ramai siswazah berminat untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekarang.

Beliau berkata, melalui kaedah ini calon guru tidak perlu lagi melalui proses lantikan Kementerian Pelajaran (KPM) sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) dan boleh terus menikmati manfaat sama seperti guru yang sudah disahkan jawatannya.

"Tindakan ini boleh dilaksanakan dulu dalam opsyen tertentu khususnya kepada calon yang mengikuti kursus Diploma Pendidikan di IPTA.

"Walaupun proses ini dipermudahkan, kita tidak boleh bertolak ansur dalam aspek kualiti dan perlu dipertingkatkan lagi," katanya berucap pada majlis penutupan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sidek berkata, beliau juga meminta SPP, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengintegrasikan sistem pangkalan data masing-masing bagi membolehkan perkongsian maklumat secara pintar dan memudahkan urusan masing-masing.

Mohd Sidek berkata, beliau percaya langkah itu akan memberi manfaat besar kepada ketiga-tiga agensi berkenaan untuk berkomunikasi tanpa sekatan dan menguruskan hal ehwal perkhidmatan pendidikan dengan lebih luas, cepat dan tepat.
Beliau berkata, sebagai contoh SPP boleh mengendalikan urusan pengambilan dan perkhidmatan dengan lebih cepat dan cekap memandangkan semua maklumat berkaitan guru pelatih dapat dicapai dengan lebih cepat daripada sistem pangkalan data Kementerian Pelajaran (KPM).

"Seterusnya KPM dan KPT boleh membuat analisis dan mengambil tindakan lebih proaktif berasaskan maklumat yang boleh dicapai daripada sistem pangkalan data SPP, katanya.

"Berikutan itu, saya berharap proses mengintegrasikan sistem pangkalan maklumat ketiga-tiga agensi berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin dengan bantuan kepakaran dan nasihat daripada Unit Permodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU)," katanya.

(BERITA HARIAN)

Tiada ulasan: