.

Ahad, 7 Mac 2010

"TANDUS AKHLAK": MENGAPA KITA SEMAKIN KEJAM ???

Belakangan ini sering sahaja berita pembunuhan dikhabarkan di media massa. Ada berita yang menceritakan kisah si anak durhaka yang tergamak membunuh datuk, adik, ibu dan bapa. Ada juga berita pembunuhan bayi yang dilihat kian berleluasa. Tidak cukup ditinggalkan di tepian surau dan masjid, mayat bayi dibakar hingga rentung kulit, dihumban ke dalam timbunan sampah sarap, di tepi sungai dicampak sehingga menjadi santapan unggas dan gagak. Terbaru kes di Sarawak, bayi dilempar ke dalam tangki kumbahan. Sudah tentu gejala ini disifatkan lebih teruk daripada binatang dan zaman jahiliah. Benar, mereka terlepas seksaan di dunia namun bagaimana di akhirat kelak?

Pelbagai spekulasi diperdebat di sana sini. Ada yang menuding jari kepada ibu bapa yang dikatakan tidak memberi perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak remaja sehingga mereka mencari seseorang untuk didampingi. Ada juga yang munuduh sesetengah pihak yang terlalu ghairah mengadakan konsert sehingga mewujudkan pergaulan bebas dalam kalangan remaja. Guru yang menjadi aset pembentuk akhlak muda mudi dalam memahami erti kehidupan dan kasih sayang turut menerima tempias tohmahan tersebut.

Dari persepsi agama, inilah akibat seandainya kita gagal atau kurang menghayati acuan yang disarankan Allah kepada seluruh umat. Amalan sunnah ditinggalkan melata tanpa arah. Al Quran tidak lagi dijadikan pedoman tetapi cukup sekadar perhiasan pada dinding-dinding rumah. Nafsu dan godaan syaitan memenuhi ruang amarah dan akhirnya menjadi semakin parah. Mengapa kita tidak pernah sedar akan tanda-tanda peringatan Tuhan yang Maha Pemurah? Penulis juga turut diingatkan seseorang yang berhati gundah. Musibah ada di sekeliling kita, menanti untuk hadir tanpa dikerah. Mentari yang cerah belum tentu esok pasti suasananya kekal indah.

Bila agaknya kejadian seumpama ini akan berakhir? Persoalan yang selalu hadir? Tetapi jawapan masih tidak dapat dizahir.

Adakah cukup sekadar mendengar berita dan memejamkan mata? Hati dibutakan dengan pemikiran yang tidak sempurna?

Sesungguhnya, bisikan ini bukan untuk mengajar anda yang sedia iman di dada. Jauh sekali untuk mentarbiah remaja di luar sana yang yakin ilmu penuh di minda. Hakikatnya, tulisan ini adalah jeritan rasa kecewa dengan sikap manusia yang tak kenal erti cinta sehingga sanggup meragut sekian nyawa yang merupakan hak mutlak Yang Maha Esa.
Teguran ini mungkin untuk anda. Tetapi percayalah, ini untuk ingatan penulis juga. Agar sentiasa sama-sama kita berdoa. Dijauhkan bala bencana kerana perbuatan manusia durjana yang tandus akhlak membunuh sesama manusia.

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!
Semoga masih ada ruang dan kesempatan untuk kita memperbetul kesilapan.
Wallahu A'lam.
Amin, Ya Rabbal Alamiinnn~



Tiada ulasan: