.

Isnin, 8 Februari 2010

KES LIWAT ANWAR IBRAHIM - SAIFUL : HARI KETIGA - ANWAR PUJUK SAIFUL

06 Feb

Justify Full

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan untuk membiayai pengajian bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di mana-mana universiti secara sepenuh masa dengan diberikan gaji penuh bagi memujuknya supaya tidak meletak jawatan selepas didakwa diliwat.

Mohd Saiful, yang memberikan keterangan pada hari ketiga di Mahkamah Tinggi di sini semalam, mendakwa Anwar kelihatan agak kesal dan sedih apabila beliau menyuarakan hasratnya untuk meletak jawatan.

"Seperti biasa beliau memujuk saya supaya tidak letak jawatan dan suruh saya lebih berdisiplin. Beliau buat tawaran balas kepada saya dengan menyatakan dia ingin membiayai pengajian saya tidak kira di mana-mana universiti pun dan saya boleh belajar sepenuh masa.

"Pada masa sama, saya juga akan mendapat gaji penuh dan elaun yang pernah saya dapat sebelum itu," katanya menjawab soalan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin.

Mohd Saiful yang memberikan keterangan sebagai saksi pertama pihak pendakwaan dalam kes liwat Anwar, berkata beliau setuju dengan tawaran itu kerana takut untuk membantah kehendak Anwar.

"Di depan dia, saya takut nak buat bantahan sebab itu saya setuju. Beberapa jam selepas itu, dia ada membalas e-mel yang saya hantar (untuk meletak jawatan) dan seingat saya, dia kata terima kasih kerana sudi menyambung kembali perkhidmatan," katanya.

Terdahulu, Mohd Saiful berkata, beliau menghantar e-mel melalui telefon bimbit Blackberry kepada Anwar bagi menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan.

Mohd Yusof: Kamu hantar e-mel melalui Blackberry untuk maklumkan kamu hendak meletak jawatan?

Mohd Saiful: Saya menghantar e-mel itu kepada Anwar pada pagi Jumaat 27 Jun 2008. Selang beberapa jam beliau telefon saya, marah dan suruh saya berjumpanya pada sebelah petang di pejabatnya di Seksyen 16 Petaling Jaya. Saya rasa takut, namun saya pergi juga berdepan dengannya.

Mohd Yusof: Dalam pertemuan apa terjadi?

Mohd Saiful: Beliau bertanyakan kembali mengapa saya ingin meletak jawatan. Saya cakap saya kurang berdisiplin, datang lewat ke pejabat dan beliau selalu marah saya. Yang kedua, saya ini kurang berkelayakan dan takut dipertikai kerana saya diberi keistimewaan oleh Anwar lebih daripada staf lain. Contohnya, saya diberi bilik pejabat sendiri yang baru pada ketika itu di Tropicana Merchant Square (Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat). Namun asas sebenar yang

saya nak berhenti adalah kerana saya tidak rela diperlakukan sedemikian lagi seperti mana dalam pertudu-han.

Pada peringkat itu peguam Anwar, Karpal Singh bangun dan membantah penggunaan perkataan 'lagi' kerana ia boleh menggambarkan berlaku beberapa siri kejadian liwat sebelum itu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohamad Zabidin menolaknya dan memutuskan perkataan itu boleh digunakan kerana ia bermaksud "tidak mahu kejadian sama berlaku pada masa hadapan".

Beliau berkata, tidak timbul persoalan sama ada perkataan itu bersifat prejudis dalam perbicaraan berkenaan.

Menceritakan detik pertemuan pertamanya dengan Anwar di pejabat Penasihat PKR itu, Mohd Saiful berkata, dia diperkenalkan dengan Anwar oleh rakannya, Rahimi Osman pada awal Mac 2008.

"Pada hari itu, Rahimi ada menelefon saya untuk datang ke pejabat Anwar untuk berborak sebab sudah lama tidak berjumpa. Rahimi bertanya sama ada saya sudah bekerja atau ada membuat apa-apa aktiviti, saya jawab tidak.

"Rahimi kemudian tanya sama ada saya berminat menjadi pembantu di pejabat Anwar kerana ada kekurangan kakitangan disebabkan pada masa itu ada tiga calon bertanding (pilihan raya umum), termasuk Nurul Izzah (anak sulung Anwar).

"Pada mulanya saya 50-50 bersetuju dengan tawaran itu dan Rahimi jemput saya ke bilik untuk bermesyuarat bersama Anwar mengenai program ceramah pilihan raya.

"Itu kali pertama saya berjumpa Anwar. Rahimi memperkenalkan saya kepada Anwar dan selepas itu perbincangan diteruskan dengan program pilihan raya. Selesai perbincangan, Anwar mengucapkan penghargaan atas pertolongan, seolah-olah isyarat beliau menerima saya sebagai sukarelawan di pejabatnya," katanya.

Mohd Yusof: Ada pada bila-bila masa Anwar menyoal latar belakang dan kelulusan kamu?

Mohd Saiful: Ada. Saya berterus terang padanya, saya keluar daripada universiti (berhenti) dan seorang bekas pelajar.

Mohd Yusof: Kamu berminat bekerja dengan Anwar?

Mohd Saiful: Ya, saya berminat sebab dia adalah idola saya. Pertama kali jumpanya, saya teruja kerana beliau adalah seorang pemimpin yang berkarisma dan idola saya sejak kecil.

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan pada Isnin ini, selepas hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan melawat Kondominium Desa Damansara bagi kali kedua, tempat kejadian Mohd Saiful mendakwa diliwat.

Pemeriksaan di Unit 11-5-1 di kondominium yang turut disertai Mohamad Zabidin, Anwar dan Mohd Saiful dilakukan mulai jam 12 tengah hari hingga 12.50 tengah hari. Ia adalah pemeriksaan kedua selepas pihak pembelaan memohon mengunjungi unit itu selepas berbuat demikian, kelmarin.

Saiful dakwa tak buang air besar dua hari

Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau tidak membuang air besar selama dua hari selepas mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjawab soalan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Mohd Saiful berkata, beliau tidak membuang air besar antara masa selepas diliwat (26 Jun 2008) sehingga diperiksa oleh doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008.

Mohd Saiful, yang juga saksi pertama pihak pendakwaan dalam keterangannya berkata, selepas menjalankan pemeriksaan perubatan berhubung dakwaan liwat itu di HKL, beliau kemudian dimasukkan ke wad hospital berkenaan.

Dalam keterangannya kelmarin, Mohd Saiful memberitahu beliau terlebih dulu pergi ke Pusat Perubatan Pusrawi di Jalan Tun Razak di sini untuk membuat pemeriksaan, bagaimanapun dinasihatkan doktor di situ untuk melakukan pemeriksaan di hospital kerajaan.

Ini kerana, doktor itu menjelaskan bahawa laporan perubatan hospital swasta tidak diterima untuk kes mahkamah, selain Pusrawi juga tiada kelengkapan untuk menjalankan ujian forensik.

Mohd Yusof: Ketika di Pusrawi kamu beritahu doktor yang kamu sakit perut dan dubur. Ada doktor tanya mengapa sakit di situ?

Mohd Saiful: Doktor ada tanya kenapa sakit.

Mohd Yusof: Apa jawapan kamu?

Mohd Saiful: Saya hanya jawab saya sakit di bahagian usus.

Mohd Yusof: Kamu beritahu, doktor itu ada periksa kamu, sebelum kamu cakap sudah diperlakukan oleh Anwar, adakah doktor beritahu hasil pemeriksaannya?

Mohd Saiful: Ketika pemeriksaan baru hendak dijalankan, dia hendak masukkan sesuatu ke dubur, saya berterus terang dengannya mengenai saya diperlakukan oleh Anwar dan dia terus berhenti.

Mohd Yusof: Doktor itu ada beritahu hasil pemeriksaan setakat sebelum diberitahu perkara diliwat?

Mohd Saiful: Tidak diberitahu hasil pemeriksaan.

'Seluar panjang hitam hadiah daripada Anwar'

Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, seluar panjang hitam yang dipakainya pada hari dia diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dihadiahkan oleh Anwar.

Mohd Saiful yang menyambung keterangannya, berkata demikian ketika dikemukakan bahan bukti itu oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

"Ia adalah seluar panjang (slack) hitam. Ia sebenarnya dihadiahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya sebaik seluar hitam itu ditunjukkan oleh Mohd Yusof.

Keterangan Mohd Saiful itu membuatkan orang ramai di galeri awam yang sebelum ini khusyuk mendengar perbicaraan kes berkenaan, kedengaran berkata: 'Oohh'.

Ketika itu juga, Anwar, isteri dan dua anak perempuannya duduk di belakang kandang tertuduh yang menempatkan Anwar, dilihat berbisik sesama mereka.

Selain seluar panjang itu, mahkamah turut dikemukakan 11 bahan bukti mengandungi calitan putik kapas, dua kemeja lengan panjang jenama Ralph Lauren berwarna biru muda dan G2000 warna hijau, dua seluar dalam kelabu dan hitam jenama Levi's serta krim pelincir jenama KY, yang dimeterai dengan cap Jabatan Kimia dan ditandatangani Mohd Saiful.

Antara spesimen itu termasuk sampel calitan di bahagian sekitar dubur, kemaluan, kedua-dua puting buah dada, bahagian tonsil, bawah lidah dan sampel darah bagi ujian DNA, alkohol serta toksikologi.

Mohd Saiful berkata, kemeja lengan panjang Ralph Lauren berwarna biru muda itu dipakai pada hari kejadian manakala krim pelincir jenama KY diserahkannya kepada pegawai penyiasat kes di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 29 Jun 2008.

Beliau berkata, baju G2000 warna hijau, seluar panjang warna hitam (yang dipakai pada hari kejadian) dan satu seluar dalam warna hitam (juga dipakai ketika kejadian) diserahkan kepada pegawai penyiasat ketika di bilik tidur rumahnya di Bandar Utama.

Katanya, seluar dalam kelabu yang dipakainya ketika membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, diambilnya di tepi mesin basuh rumah tunangnya dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Sementara itu, Karpal Singh semalam membangkitkan mengenai gambar dan keterangan dalam Utusan Malaysia dan Sinar Harian edisi muka depan semalam yang menyiarkan gambar 'Saiful menunjukkan katil tempat dia mendakwa diliwat oleh Anwar'.

Karpal mempersoalkan bagaimana gambar dan keterangan itu boleh bocor sedangkan prosiding berkenaan dibuat secara tertutup. Sehubungan itu, Karpal meminta mahkamah memberikan amaran kepada akhbar berkenaan.

Mohd Yusof berkata, beliau percaya seorang jurugambar masuk ke dalam lokasi kejadian.

Katanya, apa yang ditunjukkan Mohd Saiful dalam gambar itu adalah keterangan yang beliau berikan dalam mahkamah dan dipersetujui semua pihak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, beliau tidak berpendapat gambar berkenaan boleh menimbulkan perbuatan menghina mahkamah.

"Keterangan yang diberikan mengenai katil itu sudah dikemukakan dalam mahkamah terbuka," katanya menolak permohonan Karpal supaya mahkamah memberi amaran kepada kedua-dua akhbar berkenaan.

(BERITA HARIAN)

Tiada ulasan: