.

Selasa, 26 Januari 2010

UiTM TAWAR 100,000 LAGI TEMPAT

Peluang pelajar bumiputera untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih terbuka luas apabila Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan 100,000 lagi tempat bagi sesi akan datang.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dengan tawaran yang lebih luas itu, UiTM menyediakan 200,000 tempat bagi pelajar bumiputera bagi sesi 2010/2011 berbanding kira-kira 100,000 tempat pada masa ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, penyediaan tempat yang lebih banyak itu tidak membabitkan penambahan kampus UiTM sedia ada di seluruh negara.

''Penawaran lebih banyak tempat bagi pelajar memasuki UiTM akan membolehkan semakin ramai pelajar bumiputera yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan undang-undang di universiti itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) peringkat daerah Temerloh yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Tun Razak di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Saifuddin mengulas desakan Perkasa Pahang yang mahu kerajaan memansuhkan sistem meritokrasi dengan melaksanakan semula sistem kuota bagi kemasukan pelajar ke IPTA.

Yang Dipertuanya, Dr. Zubir Harun dalam ucapannya pada majlis itu berkata, sistem meritokrasi menyebabkan bilangan kemasukan pelajar bumiputera dalam jurusan kritikal semakin berkurangan berbanding sebelum sistem tersebut dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, pihaknya akan mengkaji saranan Perkasa negeri itu berdasarkan statistik kemasukan pelajar sejak pelaksanaan sistem meritokrasi itu hingga kini.

Beliau tidak menafikan bilangan kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA pada tahun pertama sistem itu dilaksanakan pada 2003 menunjukkan pengurangan .

''Namun, kita perlu melihat secara keseluruhan statistik itu hingga tahun ini dan jika ia menunjukkan peningkatan, kita akan teruskan tetapi jika sebaliknya, mungkin kita akan kaji semula," jelasnya.

Bagaimanapun, tambah beliau, secara keseluruhannya sistem meritokrasi tidak menggugat kemasukan pelajar bumiputera terutama Melayu ke IPTA.

''Soal pelajar Melayu ketinggalan dalam penempatan di jurusan kritikal tidak timbul sama sekali dan kita melihat sistem ini tidak menggugat pelajar bumiputera," jelasnya.

(UTUSAN)

Tiada ulasan: