.

Rabu, 6 Januari 2010

PELAJAR DIBERI PERCUMA KAD DISKAUN TAMBANG KTMB

Pelajar tempatan berumur 13 tahun ke atas kini boleh mendapatkan kad diskaun 50 peratus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk perjalanan jarak jauh secara percuma di semua stesen KTMB dan pejabat perkhidmatan antara bandarnya.

Pengurus Pemasaran Unit Perniagaan Strategik Perkhidmatan Antarabandar KTMB, Mohd Noordin Kimi, berkata kad diskaun itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2010 untuk membantu pelajar, mula dikeluarkan KTMB sejak semalam.

“Pengeluaran kad ini tertakluk kepada syarat dan kami berikan hanya untuk tempat duduk kelas kedua dan ekonomi,” katanya.

Kad ini layak diperoleh pelajar sama ada mereka di sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta, pelajar separuh masa atau pengajian jarak jauh.

“Semua pelajar layak, tidak kira daripada keluarga miskin atau kaya, selagi seseorang itu masih bergelar pelajar tidak kira penuntut Sarjana atau PhD (doktor falsafah), mempunyai kad pelajar dan belajar di dalam Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, pelajar maktab perguruan, jururawat, polis, tentera dan juga institut kesihatan perlu membayar harga kad sebanyak RM30 setahun.

Kad itu juga boleh digunakan ketika musim perayaan apabila ramai orang balik kampung tertakluk kepada syarat tempahan dibuat tidak kurang daripada tujuh hari sebelum perjalanan.

“Mereka tak boleh tempah sebelum 60 hari, tetapi tujuh hari sebelum perjalanan, boleh, kita bagi keutamaan penumpang biasa dulu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan hanya KTMB yang mengendalikan pengeluaran kad itu.

Jika kad yang diberikan secara percuma itu hilang, individu terbabit perlu membayar RM10 untuk mendapatkan kad baru sebagai denda.

Kad diskaun itu boleh didapati dalam masa sehari dari pejabat KTMB di KL Sentral dan tiga minggu jika diperoleh dari cawangan lain.

Untuk maklumat lanjut hubungi KTMB di talian 03-2279 8852 atau mengunjungi laman web www.ktmb.com.my.

(Bernama)

Tiada ulasan: