.

Rabu, 20 Januari 2010

12,300 ORANG DAPAT KERJA SEMULA

Seramai 12,300 daripada 37,781 orang yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi tahun lalu, berjaya mendapatkan semula pekerjaan selepas mengikuti Program Melatih dan Menempatkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, berkata jumlah 12,300 itu adalah separuh daripada 21,000 yang sudah dan sedang mengikuti program berkenaan di seluruh negara.

“Kita melihat perkembangan yang berlaku ini sebagai menggalakkan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Kepada Peserta Yayasan Murni yang menyertai Program Melatih dan Menempatkan anjuran Kementerian Sumber Manusia di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Maznah turut menyampaikan sijil kepada 199 peserta program berkenaan yang menyertai Kursus Pembuat Pakaian Wanita Tahap 1 & 2.

Hadir sama, Penaung Yayasan Murni Kelantan, Prof Emeritus, Datuk Dr Nik Safiah Karim dan Pengerusi Yayasan Murni Kelantan, Siti Aishah Ab Rahman.

Ditanya sama ada kerajaan akan menyambung program itu untuk melatih lebih ramai pekerja dalam bidang kemahiran, Maznah berkata, perkara berkenaan masih belum diputuskan memandangkan keadaan ekonomi sekarang yang semakin baik.

Katanya, beberapa faktor perlu dilihat sebelum mengambil sebarang keputusan untuk melanjutkan program seumpama itu antaranya termasuklah keupayaan menyediakan sumber kewangan dan juga persetujuan daripada Perbendaharaan Negara.

“Ia (penganjuran program berkenaan sebelum ini) berkaitan dengan krisis ekonomi, sekarang kita sudah di penghujung (krisis ekonomi)... kalau dulu orang yang kena buang kerja mencecah 8,000 dan 6,000 sebulan, tapi sekarang biasa saja iaitu sekitar 100 (yang diberhentikan kerja dalam sebulan), jumlah ini agak kecil dan kita boleh anggap dari perspektif pembuangan kerja, ia adalah normal,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Maznah menyarankan supaya peserta Program Melatih dan Menempatkan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian diterima kerana mereka seharusnya perlu melangkah jauh untuk terus mendapatkan kursus kemahiran peringkat lebih tinggi.

“Kepada yang menerima sijil hari ini, saya harap ia akan menjadi sebagai sebahagian daripada asas untuk mendapat kejayaan lebih besar pada masa akan datang, mungkin anda boleh memulakan perniagaan sendiri selepas ini seterusnya melebarkan sayap ke peringkat dunia.

“Untuk berjaya, kita juga boleh mencontohi kegigihan Datuk Jimmy Choo, seorang pereka kasut terkenal yang dilahirkan di Malaysia, kemahiran dimilikinya membuatkan beliau dikenali ramai golongan terkenal dunia,” katanya.

( BERITA HARIAN)

Tiada ulasan: