.

Rabu, 30 Disember 2009

WUJUDKAN SUDUT PIDATO UNTUK PENUNTUT DI IPT - SAIFUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi menggalakkan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara mewujudkan satu sudut pidato khas di universiti masing-masing bagi merancakkan aktiviti pengucapan awam dan debat di kalangan penuntut.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata IPT bebas untuk memilih format sudut pidato yang dirasakan sesuai, tetapi ia perlu melalui rundingan dan persetujuan antara pelajar dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) terlebih dulu.

Beliau berkata, ia tidak semestinya mengikut acuan seperti “Speaker’s Corner” yang pernah diwujudkan di hadapan perpustakaan Universiti Malaya sekitar tahun 1960-an dan 70-an.

"Yang penting ialah sudut pidato ini sebagai satu platform yang tidak formal bagi penuntut untuk meluahkan pemikiran dan pandangan mereka tentang sesuatu isu," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Pertandingan Pidato Kemerdekaan Antara IPT 2009 di sini, hari ini.

Kategori Bahasa Melayu dimenangi pemidato Universiti Putra Malaysia (UPM), Amirrudin Abd Rahman manakala kategori bahasa Inggeris dimenangi pemidato Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ain Anissa Mohamed, dan masing-masing membawa pulang hadiah RM5,000, piala pusingan serta piala iringan dan sijil penyertaan.

Saifuddin berkata, sudut pidato juga diharap dapat melonjakkan penganjuran dan penyertaan penuntut dalam kegiatan pengucapan awam yang kini berada di tangga paling bawah dalam lapan teras kokurikulum di universiti.

"Teras kokurikulum di universiti ada lapan, satu daripadanya adalah pengucapan awam. Malangnya status pengucapan awam pada hari ini berada di tangga paling bawah dari segi jumlah program yang dianjurkan oleh universiti dan penyertaan penuntut," katanya.

"Kalau sudut pidato ini dibuat sebagai sebagai satu platform akademik, saya yakin ia tidak akan menjadi masalah. Akta Universiti dan Kolej Universiti sudah dipinda, jadi penuntut boleh bercakap soal politik tapi janganlah bercakap atas platform parti dan perlulah sesuai dengan pendekatan ilmiah yang sesuai dengan pengajian," tambahnya.

(Bernama)


Tiada ulasan: