.

Selasa, 22 Disember 2009

SEMESTER IPT DIJANGKA IKUT KALENDER LUAR NEGARA

Kalendar akademik pengajian tinggi dijangka dikaji semula bagi membolehkan ia selaras dengan kalendar akademik luar negara,
kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penyelarasan kalendar akademik itu secara tidak langsung akan dapat menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk menyambung pengajian di negara ini.

Selain itu, katanya, perubahan itu juga akan melancarkan lagi proses mobiliti pelajar dan pensyarah ke luar negara dan sebaliknya.

"Sekarang sesi pembukaan pengajian tinggi di sini ialah pada Julai sedangkan kebanyakan universiti luar negara bermula sekitar Ogos dan September.

"Bagaimanapun sebarang perubahan bergantung kepada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran pada minggu depan," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.

Mohamed Khaled berkata sebarang perubahan juga akan memberikan kesan kepada kalendar persekolahan, jadi banyak perkara perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu.

Sebelum itu beliau merasmikan prapelancaran Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 yang akan bermula pada 9 Januari hingga 27 Mac 2010.

Majlis perasmian karnival itu dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor.

(BERNAMA)

Tiada ulasan: