KUALA LUMPUR: Kekurangan guru mata pelajaran Pendidikan Khas dan Pendidikan Islam yang agak kritikal, memaksa Kementerian Pelajaran menggunakan khidmat Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) bagi menampung keperluan terbabit.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian memandang serius terhadap perkara itu dan berusaha mencari jalan terbaik bagi menangani masalah berkenaan.
“Paling kritikal subjek Pendidikan Khas dan Pendidikan Islam adalah bagi sekolah kebangsaan dan membabitkan guru siswazah. Manakala bagi guru bukan siswazah kita menghadapi kekurangan bagi mata pelajaran Pengajaran Islam.
Mohd Puad berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 13,760 guru GSTT di seluruh negara termasuk menggantikan guru yang bercuti dan daripada jumlah itu seramai 8,849 guru GSTT di tempatkan di sekolah menengah.
Beliau berkata, seramai 4,328 guru GSTT pula ditempatkan di sekolah rendah di seluruh negara, di sekolah kebangsaan pula seramai 583 dan paling ramai mempunyai guru terbabit adalah di sekolah jenis kebangsaan bantuan kerajaan.
“Kita tidak ada had bagi sekolah untuk menggunakan khidmat guru GSTT dan ia terpulang kepada keperluan. Malah kementerian juga tidak boleh menyerap mereka sebagai guru tetap.
“Bagi guru GSTT yang mempunyai ijazah dan ingin berkhidmat sebagai guru tetap mereka perlu mendapatkan Diploma Perguruan Lanjutan Ijazah (DPLI) terlebih dulu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ramai guru GSTT yang memohon untuk melanjutkan pengajian di Institut Perguruan tidak berjaya kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan.
(Berita Harian)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan