.

Selasa, 4 Ogos 2009

PNB JUAL AS1M MULAI RABU INI


KUALA LUMPUR 3 Ogos - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan membuka langganan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kepada semua rakyat Malaysia mulai Rabu ini.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengingatkan unit amanah itu boleh dilanggan di semua pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan ejen-ejennya di seluruh negara melalui Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank serta Pos Malaysia.
Menurut beliau, AS1M menerima pelaburan melalui tunai, bank draf serta cek bank atas nama pelabur sendiri atau ASNB.

''Pelaburan melalui bank draf dan cek bank boleh dilakukan di semua pejabat ASNB seluruh negara dan ejen-ejennya,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, AS1M adalah dana berharga tetap iaitu RM1 bagi setiap unit dan disasarkan kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pelaburan minimum 100 unit dan pelaburan tambahan minimum serendah satu unit.

Hamad Kama Piah berkata, sebagai unit amanah yang berharga tetap, AS1M mempunyai ciri-ciri seperti dana berharga tetap yang lain iaitu Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

Jelas beliau, sebagai sebuah dana ekuiti pendapatan, AS1M boleh melabur sehingga 90 peratus daripada nilai tabung dalam pasaran ekuiti.

''Dalam suasana ekonomi dan pasaran yang sedang peringkat pemulihan ini, pelaburan AS1M dalam pasaran ekuiti dijangka mampu menjana pendapatan yang kompetitif kepada para pelaburnya sekiranya ekonomi dan pasaran saham pulih sepenuhnya kelak.
''Sebagai contoh tabung ASM dan ASW 2020 yang juga tabung ekuiti pendapatan berharga tetap telah mengagihkan pendapatan pada kadar antara 6.25 peratus hingga lapan peratus sejak lima tahun lalu.

''Ia jauh lebih baik berbanding kadar deposit tetap di bank-bank komersial,'' menurutnya.
Beliau menambah, AS1M boleh dilanggan tanpa sebarang caj jualan.
Langganan AS1M boleh dibuat mulai pukul 8 pagi hingga 4.15 petang di pejabat ASNB dan Pos Malaysia manakala ejen-ejen ASNB mulai pukul 9.15 pagi hingga antara 4 petang dan 4.30 petang bergantung kepada urus niaga bank-bank tersebut.
(UTUSAN)

Tiada ulasan: