.

Rabu, 5 Ogos 2009

MERIAHKAN TILAWAH AL-QURAN

Mulai malam ini sehingga 12 Ogos, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur akan berkumandang dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sempena Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-51.

Tilawah yang bertemakan “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah” itu akan menampilkan 70 peserta yang diwakili oleh qari dan qariah dari 76 negara.

Majlis itu akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada pukul 8.45 malam.

Malaysia akan diwakili johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-52, Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan dari Sarawak, dan Johan Qariah (Johan Menunggu), Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dari Perak.

Menghalusi tema tilawah tahun ini membuktikan betapa ia menekankan pentingnya wahdah atau perpaduan. Perpaduan itu merangkumi penyatuan tenaga, fikiran, aspirasi dan pengorbanan di kalangan umat Islam untuk terus komited merancang dan bergerak demi kemaslahatan di setiap peringkat.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai...” (Ali-‘Imran: 103)

Antara objektif dianjurkan majlis ini adalah bagi menggalak dan membudayakan minat membaca al-Quran di kalangan masyarakat Islam selain dapat mempertemukan qari dan qariah terbaik dari seluruh negara.

Bagi kita di Malaysia, kesempatan ini harus dipergunakan sebaik mungkin. Ia supaya semangat membaca al-Quran itu sentiasa membara dan terus dipertingkatkan.

Seharusnya, setiap Muslim memasang niat untuk menguasai bacaan al-Quran sebagai mana mutu bacaan yang ditunjukkan oleh para qari dan qariah.

Sekurang-kurangnya tahap bacaan kita menepati hukum tajwid. Lebih baik lagi menguasai ilmu tarannum (lagu) al-Quran.

Seharusnya, dalam kesibukan sebahagian kita mengenali nama-nama artis atau penyanyi masa kini, kita juga perlu mengenali nama-nama besar qari dan qariah negara.

Nama seperti Allahyarham Ahmad Mat Som, Allahyarham Datuk Ismail Hashim, Radzi Kamarul Hailan dan Aziz Mustakim dan juga para qariah seperti Faridah Mat Saman, Datuk Rugayah Sulong dan Rahmas Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama) perlu kita kenal.

Fitrah kita sebagai manusia sukakan yang indah. Bacaan yang sedap, tepat sebutan makhraj dan tajwidnya memang mengasyikkan kita yang mendengar. Tambahan pula, mendengar bacaan al-Quran pun diberi pahala oleh Allah SWT, apatah lagi jika kita membacanya.

Dalam membentuk khaira ummah (umat terbaik) pula sudah semestinya al-Quran adalah rujukan utama umat Islam. Seharusnya, dalam soal melibatkan penyakit hati, kitab suci inilah yang perlu kita baca, faham dan hayati.

Bukannya mencari penyelesaian di pusatpusat hiburan, kelab-kelab malam atau berfoya-foya sehingga kepada pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram.

Bukankah Allah telah menjelaskan kepada kita dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang keraguan padanya (tentangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.” (al-Baqarah: 2)

Malah, Nabi Muhammad SAW dalam Haji Wada’ telah bersabda yang bermaksud: “Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepadanya, iaitu ayat Allah (al-Quran) dan sunnah-Ku (hadis)”.

Malangnya, hari ini ramai umat Islam ‘menjauhkan’ diri daripada al-Quran. Kitab suci ini hanya dijadikan perhiasan atau dibiarkan buruk begitu sahaja disimpan dalam almari di rumah.

Berapa ramai umat Islam, hanya membaca al-Quran apabila ada kematian atau apabila diadakan majlis membaca Yasin?

Padahal sudah dijelaskan bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang. (rujuk ayat 28 surah al-Ra’d)

Sesuai pula dengan penganjuran tilawah pada bulan Syaaban, bulan yang dipenuhi dengan keberkatan. Justeru, amat malang jika kita membiarkan program ini berlalu begitu sahaja tanpa diambil manfaat daripadanya.

Alangkah malunya jika tilawah ‘ditewaskan’ oleh lebih 80,000 penonton yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan perlawanan Manchester United (MU) menentang Malaysia pada 18 Julai lalu. (Walaupun ia disaksikan oleh masyarakat pelbagai kaum).

Sekurang-kurangnya, hendaklah kita menjadi penonton setia tilawah. Jika tidak mampu hadir ke PWTC, boleh sahaja diikuti program itu menerusi kaca televisyen kerana ia disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Jika tahun-tahun sebelum ini, kita tidak berkesempatan menonton tilawah, apa kata mulai tahun ini, kita berazam untuk mengikutinya dari awal hingga akhir. Kepada ibu bapa, ini juga boleh menjadi contoh kepada anak-anak terutama dalam mendorong mereka mempelajari al-Quran. Seterusnya, boleh menguasai kitab suci itu dengan baik.

Sebabnya, banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa membasahi lidah mereka dengan ayat-ayat Allah. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pemiliknya.” (riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang terbaik dari kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.” (riwayat Bukhari)

Sementelahan pula, tidak berapa hari lagi, kita akan menyambut bulan yang mulia dalam Islam iaitulah Ramadan. Jadi, eloklah jika kita mula melatih diri daripada sekarang untuk membaca al-Quran setiap hari.

Ramadan seperti yang kita tahu adalah bulan al-Quran diturunkan. Ia sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: “Bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza.” (al-Baqarah: 185)

Akhir kalam, marilah kita berdoa agar dipermudahkan untuk kita membaca dan menghayati al-Quran.

(UTUSAN)


Tiada ulasan: