.

Ahad, 14 Jun 2009

TIGA IPTS TAWAR KURSUS PERUBATAN TRADISIONAL

Sebanyak tiga Institusi Pengajian Tinggi Swasta Tempatan (IPTS) akan menawarkan kursus peringkat ijazah dan diploma dalam bidang perubatan tradisional mulai sesi pengajian September ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung, berkata tiga IPTS berkenaan ialah Kolej Universiti Antarabangsa Inti (Inti), Kolej Universiti Perubatan Sains Cyberjaya (Cybermed) dan Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) yang masing-masing menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Tradisional Cina, Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan Homeopati serta Diploma Perubatan Tradisional Cina.

Beliau berkata, selain tiga institusi berkenaan, empat lagi IPTS sudah mengemukakan permohonan untuk menawarkan kursus sama tetapi semuanya masih dalam proses penilaian oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Program ini adalah yang pertama kali ditawarkan IPTS tempatan dan ia sejajar hasrat kerajaan menjadikan Malaysia hab pendidikan di rantau ini," katanya pada majlis penyerahan sijil kelulusan kepada ketiga-tiga IPTS berkenaan.

Sijil disampaikan kepada Provost Cybermed, Dr Mohd Salmi Mohd Sohod; Pengarah Urusan Inti, Boh Boon Chiang dan Naib Presiden Fakulti Kesihatan dan Sains Kehidupan MSU, Prof Dr Asbi Ali.

Dr Hou berkata, penawaran kursus selama tiga tahun bagi diploma dan empat tahun bagi ijazah sarjana muda juga bagi memberi peluang kepada pelajar perubatan menceburi bidang perubatan tradisional tanpa perlu ke luar negara.

(BERITA HARIAN)



Tiada ulasan: