.

Ahad, 7 Jun 2009

KONSERT EKSKLUSIF PERTAMA SITI DI ISTANA BUDAYA


Sepanjang 10 tahun penubuhan Istana Budaya (IB) di Kuala Lumpur dan juga 14 tahun pembabitan Datuk Siti Nurhaliza (Siti) sebagai penyanyi, keduanya cukup signifikan dalam memeriahkan lagi persada seni tanah air.

Siti misalnya, bukan sekali malah antara nama besar tempatan yang sering mengadakan persembahan di Panggung Sari, IB, yang telah berjaya menarik serta mempopularkan panggung seni bertaraf dunia itu.

Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang ini berkata, setakat ini beliau belum pernah mengadakan konsert solonya di IB dengan menyampaikan lagu-lagu yang pernah dipopularkannya sejak lebih sedekad lalu.

Justeru, Siti menyifatkan Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza di Panggung Sari, IB pada 26 hingga 28 Jun ini pukul 8.30 malam merupakan suatu persembahan yang bukan sahaja diidam-idamkannya.

Sebaliknya, kata penyanyi berusia 30 tahun ini lagi, konsert eksklusif beliau yang julung-julung kalinya diadakan di IB itu juga tentunya dinanti-nantikan oleh para peminat yang mahu menyaksikan persembahannya di tempat berprestij tersebut.

"Sebelum ini, Siti memang banyak kali mengadakan persembahan di IB tetapi menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain. Contohnya persembahan tribute (penghargaan) untuk Sudirman, P. Ramlee dan berkonsepkan irama 60-an.

"Tetapi pada konsert kali ini, Siti akan menyanyikan lagu-lagu Siti sendiri. Siti anggap ini adalah konsert khusus Siti untuk para peminat di IB," kata Siti kepada Hits ketika ditemui pada kempen menanam anak-anak pokok di Hutan Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama menemani Siti menjayakan kempen itu ialah suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa serta dua anak tirinya iaitu Muhammad Aazief, 17, dan Muhammad Asyraf, 11.

Menurut Siti, setakat ini 50 peratus persiapan untuk menjayakan konsert anjuran bersama IB itu berjalan lancar dan beliau kini sedang menjalani latihan secara intensif lagu-lagu yang akan dinyanyikannya pada konsert itu kelak.

Jelasnya, persembahan itu bukan setakat mempersembahkan lagu-lagu popular beliau yang dipetik daripada album-album yang pernah dirakamkannya sepanjang 14 tahun bergelar penyanyi dalam persada seni tempatan.

Sebaliknya, kata Siti, konsert yang akan berlangsung selama hampir dua jam itu juga akan dihiasi dengan pelbagai elemen tarikan seperti tarian, limpahan cahaya berwarna-warni, paparan grafik di belakang pentas dan suara latar.

"Kesemua elemen itu akan dirangkumkan dalam satu ketika Siti menyanyikan lagu-lagu pada persembahan itu nanti. Siti ada masa tidak sampai sebulan untuk membuat persiapan terutamanya yang membabitkan koreografi. Semua itu tentunya menagih stamina yang tinggi," ujarnya.

Selain sibuk mengadakan persiapan untuk konsert itu, Siti juga sudah bersedia untuk merakamkan album baru yang katanya lain daripada yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

Jika sebelum ini, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Cinta Padamu ini pernah merakamkan lagu-lagu berkonsepkan irama pop dan tradisional, tetapi untuk album terbarunya kelak dia akan cuba pula mengetengahkan lagu-lagu yang berunsurkan ketuhanan.

"Idea ini tercetus selepas Siti menjayakan persembahan Sirah Junjungan di IB baru-baru ini. Ramai peminat yang beri idea supaya Siti mencuba pula menyanyikan lagu-lagu berkonsepkan nasyid dan lirik yang bertemakan ketuhanan.

"Contohnya lagu-lagu yang cenderung kepada puji-pujian kepada Allah dan Nabi Muhammad. Siti pun rasa seronok dan tenang apabila menyanyikan lagu-lagu yang macam itu. Mungkin kalau tiada aral album itu akan dirakamkan pada bulan Ramadan nanti," katanya lagi.



Tiada ulasan: