.

Isnin, 4 Mei 2009

209,675 PELUANG KERJA UNTUK RAKYAT TEMPATAN DI "JobsMalaysia"

Kementerian Sumber Manusia mengenal pasti 209,675 peluang pekerjaan yang berpotensi untuk diisi rakyat tempatan dalam lima sektor pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kekosongan jawatan itu dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, perladangan, pertanian dan pembinaan, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Dr Subramaniam berkata, majikan juga perlu mengambil langkah sesuai untuk menarik minat rakyat tempatan bekerja, selain membuat beberapa pembaharuan seperti penyesuaian masa bekerja dan menawarkan kadar gaji bersesuaian dengan kerja yang dilakukan.

"Selain itu, majikan tempatan juga perlu terus mengutamakan pekerja tempatan," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam.

Kira-kira 10,000 pekerja mewakili 91 kontinjen perkhidmatan awam dan 60 kontinjen swasta menyertai perhimpunan bertemakan 'Kerana Mu Malaysia Maju' itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Subramaniam berkata, tema itu dipilih sebagai penghargaan kerajaan bagi mengiktiraf jasa serta sumbangan warga pekerja dan majikan yang memainkan peranan masing-masing sebagai satu pasukan ke arah menjadikan Malaysia negara maju.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata, bermula Oktober tahun lalu sehingga April tahun ini, 17,436 pekerja tempatan diberhentikan secara tetap akibat kelembapan ekonomi dunia, manakala 7,418 diberhentikan kerja secara sukarela.

"Majoriti daripada pekerja yang diberhentikan daripada subsektor elektrik dan elektronik, tekstil dan pakaian serta sektor perkhidmatan. Dengan komitmen dan usaha berterusan daripada kementerian, sehingga 30 April lalu, 7,285 pekerja yang diberhentikan kerja berjaya ditempatkan semula, " katanya.

Dr Subramaniam berkata, kementerian juga memperluaskan liputan 'JobsMalaysia' kepada sektor awam dan sejak ia dilaksanakan, Mei tahun lalu hingga 26 April lalu, 306 majikan daripada pelbagai agensi kerajaan menggunakan portal terbabit mencari pekerja.

JobsMalaysia (sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penjodohan Pekerjaan (JCS) di ELX) adalah sistem penjodohan pekerjaan automatik atas talian disediakan kementerian.

Ia memberi kemudahan kepada pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan bersesuaian dan majikan pula boleh mendapatkan calon sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan di syarikat mereka.

(BERITA HARIAN)




Tiada ulasan: