.

Jumaat, 3 April 2009

DATO' SERI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK: PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-6



Alhamdulillah .. .
Sekitar jam 10.30 pagi ini Malaysia telah selamat menerima Perdana Menteri baharu yang ke-6. Beliau yang juga anak bekas Perdana Menteri Malaysia ke-2 selamat mengusaikan perlantikannya dengan sumpah simpan rahsia kerajaan dan menandatangani surat perlantikan di Istana Negara. Dengan adat istiadat ini maka tamatlah spekulasi yang sebelum ini menyatakan bahawa Dato' Seri Najib Tun Razak tidak akan menjadi Perdana Menteri dek kerana beberapa faktor berkaitan yang dikaitkan pihak tertentu.

Dengan termaktubnya istiadat ini sebentar tadi maka gelaran "TUN" dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri Tun Jeanne Abdullah.

TAHNIAH !!!
diungkap buat Perdana Menteri baharu. Tanggungjawab yang perlu digalas cukup berat memandangkan situasi dan senario dalam negara hari ini menuntut beliau menyelesaikannya. Daripada isu politik tanah air yang tidak menentu, isu ekonomi negara yang merudum dipengaruhi sentimen global serta masalah sosial lain seperti pengangguran, isu pendidikan, dan sebagainya. Justeru, tidak hairanlah pada Perhimpunan UMNO baru-baru ini beliau begitu berhasrat agar 'saf' yang ampuh amat diperlukan dalam memastikan agenda nasional boleh diteruskan demi merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan.

Berkat Penghulu hari (Jumaat) antara hari-hari lain dalam Islam diharap memberi inspirasi kepada beliau untuk dikurniakan Rahmat dari yang Maha Kuasa agar Negara terus dilimpahi Hidayah serta I'nayah sepanjang berada di bawah pentadbirannya. Keamanan serta kemakmuran adalah impian seluruh rakyat demi pembangunan yang berterusan.

Kerangka strategi kerajaan masih banyak lagi yang belum menemui klimaks yang direncanakan. Di samping itu, tidak dinafikan bahawa pelbagai aktiviti dan program lain telah selamat dilaksanakan dan berjaya mendatangkan hasil seperti yang dirancang. Apa jua terjadi, penulis benar-benar berharap agar kepemimpinan anak bekas pemimpin ulung negara ini bakal memahatkan sejarah dalam pemerintahannya samada dalam negara mahu pun di peringkat antarabangsa. Pengalaman kepimpinan yang ditimba sedari usia muda seperti menjadi Menteri Besar Pahang pada umur 29 tahun, menjadi Menteri Pendidikan, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan sebagainya. Berbekalkan kemahiran serta keterlibatan secara langsung atau tidak langsung ini diharap agar memberi kekuatan dalam memimpin negara ke puncak jaya.

Akhir kalam, semoga rakyat memberi peluang dan sokongan buat Perdana Menteri baharu untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkarisma dan unggul untuk kepentingan negara kita serta dunia sarwajagat.

Sekadar berkongsi keterujaan,
Fikir-fikirkan .. .




Tiada ulasan: