.

Khamis, 12 Mac 2009

SLOT SAMARINDA "YUSUFF" : ASHRAF MUSLIM LAKONKAN WATAK ADAPTASI KISAH NABI ?




Slot Samarinda "YUSUFF" telah disiarkan di Tv3 setiap hari Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam. Slot yang menggantikan drama "ROZANNA" ini dipersembahkan kepada penonton dengan siri sebanyak 25 episod mulai 4 Mac 2009 yang lalu. Drama ini merupakan hasil arahan sutradara Hitler Zami dan diterbitkan oleh Asia Media Content.

Penulis baru sahaja selesai menonton drama tersebut buat pertama kali malam ini yang sudah pun memasuki episod keempat dalam slot Samarinda di Tv3. Kebetulan malam ini tiada isu terpilih untuk dititipkan di sini. Justeru, pengamatan lebih tertumpu pada slot tersebut yang merupakan penampilan kedua dalam minggu ini. Mulanya penulis sekadar menonton aksi pelakon-pelakon Malaysia itu dengan persepsi lakonan drama yang biasa sahaja. Namun, dek kerana unsur penceritaan (jalan cerita) yang menyerupai kisah teladan seseorang, maka penulis cuba untuk menumpukan perhatian sepenuhnya selama setengah jam dari 10.30 malam. Dengan kekuatan nama-nama watak yang ditampilkan beserta skrip yang diucapkan,
maka benarlah... drama "YUSUFF" ini pernah terbaca oleh penulis dalam sebuah buku.

Rupa-rupanya drama tersebut memaparkan rentetan kisah Nabi Yusuff A.S yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Menariknya tentang drama ini, pelbagai babak dan adegan telah diadaptasi dengan unsur-unsur penghidupan zaman kini seperti watak polis, ranger hutan, doktor, serigala yang digantikan dengan watak harimau, saudagar yang berulang-alik dari Mesir ke Palestin pula digubah menjadi seseorang yang sedang melarikan diri daripada pihak polis di dalam hutan kerana melakukan kesalahan dan lain-lain lagi.

Walaubagaimana pun, selepas setengah jam menyaksikan episod malam ini, timbul satu persoalan dalam benak fikiran. Kisah ini merupakan perjalanan hidup seorang Nabi. Nabi adalah utusan Allah ke muka bumi.

Lantas, wajarkah penambahan serta pengubahsuaian yang cuba digarapkan dalam slot ini sesuai dipertonton kepada masyarakat, khususnya mereka yang mengetahui kisah Nabi Yusuf A.S? Andai paparan sekadar teladan serta fiksyen yang mahu mengetengahkan konsep nilai-nilai murni yang ada pada Nabi Yusuff A.S; mengapa jalan cerita, nama watak serta babak-babak yang dipersembahkan hampir-hampir menyamai kisah Nabi ini? Andai drama ini benar-benar mengisahkan kehidupan Nabi Yusuff A.S, mengapa terdapat pelbagai olahan mengikut citarasa pengarah serta penulis skrip..terutama dari segi watak, babak, olahan penceritaan serta penampilan (pemakaian) ?

Andai penonton yang berpengetahuan tinggi mungkin boleh menerima drama ini sebagai suatu cereka berbentuk pengajaran untuk motivasi masyarakat yang menyaksikan. Namun, jalan cerita yang dipersembahkan mirip cerita asal kisah Nabi tersebut.

Maka, sekiranya kisah ini diikuti oleh orang yang tahu jalan ceritanya tetapi lemah pegangan ilmunya atau mereka yang menyaksikan kemudian terbaca kisah Nabi Yusuf ini dan cuba ditafsirkan mengikut jalan cerita slot ini, bagaimana pula nanti? Bukan apa, sebahagian daripada masyarakat kita lebih mudah memahami jalan cerita berbentuk lakonan (praktikal) berbanding pembacaan (teori) semata-mata.

Justeru, sekiranya kisah dalam drama "YUSUFF" ini terlalu banyak mengalami suntingan jalan cerita, ditakuti akan mengalihkan tumpuan pemahaman masyarakat kita khususnya yang beragama Islam.

Dalam 'entry' ini penulis bukan ingin mempersoalkan lakonan watak Nabi ini memandangkan ada pendapat menyatakan watak tersebut diharuskan (boleh lihat di sini). Tetapi, aspek yang ditekankan hanyalah: andai benar drama ini adaptasi kisah Nabi Yusuff A.S yang sebenar maka jalan cerita perlulah betul supaya kita tidak mengubah sejarah kehidupan Nabi tersebut yang terang-terang dipahatkan dalam Al Quran.

Apa pun, penulis suka untuk berkongsi cerita Nabi Yusuff A.S. ini secara ringkasan kepada semua. Sama-samalah kita hayati dan semoga slot Samarinda yang akan terus dipapar hingga ke episod akhir nanti mempunyai jalan penceritaan yang betul.

Wallahu a'lam .. .
Sekadar berkongsi ilmu,
Fikir-fikirkan .. .

-------------------------- >>>>> RINGKASAN KISAH NABI YUSUFF >>>>> -------------------------------

Sebelum Nabi Muhammad lahir, cerita tentang Nabi Yusuf sudah dikenal oleh orang-orang Yahudi dan Kristian kerana nama Nabi Yusuf ada dalam buku-buku agama mereka, walau bagaimanapun ada perbezaan antara cerita yang mereka ketahui dengan cerita yang disebut dalam Quran.

Di kalangan orang Islam, banyak perincian tentang kisah Nabi Yusuf sebenarnya tidak ada disebut baik dalam Quran mahupun dalam hadith, sebaliknya ia berasal daripada cerita-cerita yang disampaikan oleh orang-orang Yahudi berdasarkan apa yang mereka dengar daripada datuk-nenek mereka sahaja.

Nabi Yusuf (Joseph) adalah keturunan Yahudi. Beliau adalah anak kepada Nabi Yaakub (Jacob), dan cucu kepada Nabi Ibrahim (Abraham). Ada pendapat mengatakan Nabi Yaakub mempunyai 2 orang isteri. Daripada isteri pertama beliau yang sudah meninggal dunia beliau mempunyai 9 orang anak lelaki.

Dengan isteri keduanya, beliau mempunyai 2 orang anak lelaki, iaitu Nabi Bunyamin (Benjamin) dan Nabi Yusuf.

Ada pendapat mengatakan Nabi Yusuf adalah anak bongsu, manakala ada pula pendapat mengatakan Nabi Bunyamin yang bongsu. Maklumat ini tidak disebutkan dalam Quran. Semua 11 orang anak Nabi Yaakub tinggal bersamanya di Palestin.

Dalam Quran, kisah Nabi Yusuf bermula apabila, pada suatu hari Nabi Yusuf bermimpi. Dalam mimpinya itu beliau melihat sebelas buah bintang, matahari serta bulan, sujud dan memberi hormat kepadanya. Pada masa itu beliau yang tidak tahu apa makna mimpinya itu, lalu beliau bertanya kepada ayahnya, Nabi Yaakub, apa makna mimpinya itu.

Nabi Yaakub tidak menerangkan apa makna mimpi anaknya itu, tetapi beliau memberitahu Nabi Yusuf supaya jangan menceritakan hal mimpinya itu kepada abang-abangnya. Nabi Yaakub khuatir abang-abang Nabi Yusuf akan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada diri Nabi Yusuf.

Nabi Yaakub kemudian memberitahu Nabi Yusuf bahawa Tuhan telah memilih anaknya itu, dan akan mengajarkan kepada Nabi Yusuf ilmu mentaabir mimpi, serta akan memberikan nikmat yang tinggi kepadanya dan kepada semua keluarga Nabi Yaakub, sebagaimana Tuhan telah menyempurnakan nikmatnya kepada datuk-datuk Nabi Yusuf, iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak (Isaac).

Pada suatu hari abang-abang Nabi Yusuf berbincang sesama sendiri. Salah seorang daripada mereka mengemukakan perihal bagaimana ayah mereka bersikap tidak adil kerana melebihkan kasih sayangnya ke atas Nabi Yusuf, padahal mereka semua adalah anak-anak Nabi Yaakub.

Dalam perbincangan itu, mereka terfikir hendak membunuh Nabi Yusuf ataupun membuangnya ke suatu tempat yang sangat jauh, supaya dengan itu kasih sayang Nabi Yaakub akan ditumpukan kepada mereka sahaja, dan dengan demikian mereka akan menjadi orang yang baik dan berguna kepada ayah mereka.

Walau bagaimanapun, salah seorang daripada mereka tidak setuju Nabi Yusuf dibunuh. Sebaliknya dia mencadangkan supaya Nabi Yusuf dibuang ke dalam perigi di tempat laluan para saudagar yang berulang-alik antara Palestin dan negeri Mesir. Dengan cara itu Nabi Yusuf akan dikutip oleh rombongan saudagar yang lalu-lalang di situ.

Abang-abang Nabi Yusuf pun kemudian pergi berjumpa ayah mereka kerana hendak meminta kebenaran Nabi Yaakub supaya membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf keluar pergi bermain-main, makan-makan dan berseronok dengan abang-abangnya.

Nabi Yaakub berat hati dan sedih hendak membenarkan Nabi Yusuf dibawa keluar kerana takut anaknya akan dimakan oleh serigala, semasa abang-abangnya lalai. Abang-abang Nabi Yusuf menolak kekhuatiran ayah mereka dengan mengatakan bilangan mereka ramai, dan kalau adik mereka samai dimakan oleh serigala, mereka sendiri yang akan rugi. Akhirnya Nabi Yaakub membenarkan anak-anaknya membawa Nabi Yusuf keluar.

Apabila sampai ke tempat yang dirancangkan, semasa abang-abang Nabi Yusuf hendak mencampakkan adiknya ke dalam perigi, pada saat itu Tuhan memberikan ilham kepada Nabi Yusuf bahawa dia akan terselamat, dan pada suatu hari nanti Nabi Yusuf akan berpeluang memberitahu abang-abangnya itu akan apa yang mereka lakukan, sedangkan pada masa itu mereka sudah lupa akan Nabi Yusuf dan sudah lupa akan apa yang pernah mereka lakukan ke atas adiknya itu.

Apabila hari sudah senja abang-abang Nabi Yusuf pun pulang dan pergi mendapatkan ayah mereka sambil pura-pura menangis. Mereka bersungguh-sungguh memberitahu Nabi Yaakub bahawa mereka telah pergi bermain lumba-lumba berburu, dan mereka menyuruh Nabi Yusuf tinggal supaya menjaga barang-barang bekalan. Pada masa itulah Nabi Yusuf dimakan oleh serigala.

Sebagai bukti, mereka menunjukkan baju Nabi Yusuf yang berlumuran dengan darah. Kata mereka, sudah tentu Nabi Yaakub tidak percaya pada apa yang mereka ceritakan walaupun cerita itu benar.

Nabi Yaakub tetap tidak percaya dan mengatakan anak-anaknya berdusta kerana cerita mereka itu tidak masuk akal. Meskipun demikian Nabi Yaakub hanya bersabar sahaja sambil memohon pertolongan dari Tuhan semata-mata.

Pada masa yang sama, sewaktu Nabi Yusuf berada dalam perigi, sekumpulan saudagar yang dalam perjalanan menuju negeri Mesir lalu di tempat itu. Mereka menyuruh seorang pembantu pergi mencari air.

Apabila si pencari air sampai ke perigi itu dia pun menghulurkan timbanya turun. Nabi Yusuf pun berpaut pada tali itu, lalu timba itu ditarik naik.

Apabila si pencari air melihat seorang anak muda bergantung pada timbanya, dia hairan dan gembira melihat keelokan rupa paras Nabi Yusuf. Dia pun membawa balik Nabi Yusuf kepada rombongan saudagar itu.

Saudagar itu menyembunyikan Nabi Yusuf dalam bungkusan barang-barang dagangannya dengan niat hendak menjual Nabi Yusuf sebagai hamba apabila tiba di Mesir nanti.

Setibanya di negeri Mesir, saudagar itu berjaya menjual Nabi Yusuf kepada seorang pembesar dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja, disebabkan mereka tidak menghargai Nabi Yusuf.

Selepas membeli Nabi Yusuf sebagai hamba, pembesar yang dipanggil dengan gelaran 'al-Aziz' itu membawa Nabi Yusuf pulang ke rumah dan dia memberitahu isterinya (Zulaikha, tetapi nama ini tidak disebut dalam Quran) supaya menjaga Nabi Yusuf baik-baik, sama ada sebagai hamba yang berguna ataupun sebagai anak angkat.

Begitulah cara Tuhan mengatur kisah Nabi Yusuf dengan menetapkan bahawa dia akan dihantar tinggal ke negeri Mesir di mana dia akan menjadi orang yang dihormati dan disayangi. Sewaktu di Mesir jugalah Tuhan memberikan kepada Nabi Yusuf kepandaian membaca taabir mimpi.

Apabila Nabi Yusuf sudah muda remaja dan pertumbuhannya sudah sempurna, sebagai balasan kepada Nabi Yusuf yang baik amalannya, Tuhan memberikan kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan.

Isteri al-Aziz jatuh cinta kepada Nabi Yusuf, tetapi Nabi Yusuf sentiasa takut kepada Tuhan, lagipun sudah ditakdirkan oleh Tuhan bahawa sebagai seorang yang bersih daripada dosa, Nabi Yusuf terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

Pada suatu masa isteri al-Aziz memanggil Nabi Yusuf masuk ke kamarnya. Kemudian dia menutup pintu, lalu bersungguh-sungguh memujuk dan menggoda Nabi Yusuf. Nabi Yusuf menolak pujukan isteri al-Aziz lalu dia berdoa memohon pertolongan Allah yang telah melindungi dirinya dengan sebaik-baiknya.

Pada peristiwa itu Nabi Yusuf berlari ke arah pintu, tetapi isteri al-Aziz mengejarnya dari belakang, dia dapat memegang baju Nabi Yusuf, lalu ditariknya sehingga baju itu terkoyak. Pada saat itu, daun pintu terbuka dan al-Aziz terserempak dengan mereka berdua.

Tiba-tiba perempuan itu memberitahu suaminya bahawa Nabi Yusuf cuba berlaku serong kepadanya dan menyuruh suaminya memenjarakan Nabi Yusuf ataupun menghukumnya dengan hukuman yang berat.

Nabi Yusuf memberitahu suami perempuan itu bahawa isterinyalah yang cuba menggoda dirinya, tetapi al-Aziz bagaikan tidak percaya.

Pada saat itulah seorang saksi tampil dan memberitahu lelaki itu supaya memeriksa jikalau baju Nabi Yusuf koyak di bahagian depan maka itu adalah bukti isterinya berkata benar, jika baju Nabi Yusuf koyak di bahagian belakang, itu adalah bukti isterinya berdusta.

Apabila al-Aziz melihat baju Nabi Yusuf koyak di belakang, dia sedar akan tipu daya isterinya. Dia meminta supaya Nabi Yusuf melupakan sahaja peristiwa itu, manakala dia menyuruh isterinya meminta ampun akan kesalahannya.

Peristiwa itu kemudian sampai ke pengetahuan orang ramai di bandar Mesir, terutama di kalangan orang-orang perempuan, dan mereka mencaci isteri al-Aziz yang tergoda oleh hambanya sendiri.

Apabila cacian mereka sampai ke pengetahuan isteri al-Aziz, dia pun merancang suatu majlis keraian di rumahnya, lalu dia mengundang perempuan-perempuan itu. Dalam majlis itu dia memberikan kepada setiap orang perempuan itu sebilah pisau.

Kemudian isteri al-Aziz memanggil Nabi Yusuf supaya keluar dan tampil di hadapan para tetamu. Tatkala perempuan-perempuan itu terpandang Nabi Yusuf, mereka tercengang, sehingga dengan tidak disedari mereka melukai tangan mereka.

Dalam keadaan tidak sedar itu terkeluarlah kata-kata dari mulut masing-masing bahawa lelaki yang ada di depan mereka itu bukan manusia tetapi malaikat yang mulia.

Isteri al-Aziz menempelak perempuan-perempuan itu dengan mengatakan itulah dia lelaki yang mereka umpat selama ini, lelaki yang menyebabkan mereka melukai tangan sendiri. Kemudian isteri al-Aziz memberitahu perempuan-perempuan yang hadir dalam majlis itu bahawa memang dia amat mencintai Nabi Yusuf tetapi cintanya ditolak.

Kemudian, di hadapan para tetamunya itu, dia mengugut Nabi Yusuf, kalau hasratnya terus ditolak, dia akan pastikan Nabi Yusuf dipenjarakan dan terhina. Mendengar ugutan itu Nabi Yusuf berkata bahawa dia lebih suka dipenjarakan daripada memenuhi hasrat isteri al-Aziz itu.

Selepas kejadian itu al-Aziz dan orang-orangnya merancang supaya Nabi Yusuf dimasukkan ke penjara. Nabi Yusuf pun dimasukkan ke penjara bersama-sama dua orang khadam Raja Mesir.

Semasa dalam penjara Nabi Yusuf mengambil peluang berdakwah kepada kedua-dua orang rakan sepenjaranya yang menganut agama nenek moyang mereka.

Pada suatu masa salah seorang daripada khadam raja itu memberitahu Nabi Yusuf bahawa dia bermimpi, dalam mimpinya dia melihat dirinya memerah anggur. Khadam yang seorang lagi memberitahu dia juga bermimpi, dan dia melihat dirinya menjunjung roti di atas kepalanya, kemudian datang burung memakan roti itu.

Kedua-dua khadam itu meminta Nabi Yusuf menerangkan apa makna mimpi mereka. Kepada khadam yang bermimpi memerah anggur, Nabi Yusuf menerangkan si khadam itu akan memberi tuannya minum arak. Kepada khadam yang seorang lagi, Nabi Yusuf memberitahu dia akan dijatuhi hukuman mati dengan cara disalib.

Kemudian Nabi Yusuf meminta kepada khadam yang pertama itu supaya apabila dia dibebaskan nanti, ceritakanlah keadaan sebenar tentang dirinya kepada Raja Mesir. Tetapi, selepas khadam itu bebas, dia terlupa akan pesan Nabi Yusuf, sehingga Nabi Yusuf terus tinggal dalam penjara.

Pada suatu hari Raja Mesir memberitahu pembesar-pembesarnya bahawa baginda bermimpi, dalam mimpinya baginda melihat tujuh ekor lembu yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus-kurus, dan baginda juga melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering.

Baginda bertanya kepada mereka apakah makna mimpinya itu, tetapi mereka semua tidak tahu.

Pada saat itulah khadam yang terselamat teringat akan pesanan Nabi Yusuf lalu dia meminta izin kepada raja supaya dia dibenarkan menemui Nabi Yusuf di dalam penjara kerana Nabi Yusuf pandai membaca makna mimpi.

Khadam itu pun menemui Nabi Yusuf di penjara lalu Nabi Yusuf menyuruh dia memberitahu raja supaya bercucuk tanam bersungguh-sungguh selama tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang dituai biarkan ia melekat pada tangkai-tangkainya, kecuali sedikit sahaja untuk dimakan, kerana akan datang selepas itu musim kemarau panjang selama tujuh tahun, sehingga akan habislah semua makanan yang disimpan, kecuali sedikit sahaja yang tinggal sebagai benih. Selepas itu barulah kemarau tamat, dan hujan akan turun semula.

Apabila Raja Mesir mendengar taabir mimpinya itu, baginda menyuruh orang supaya pergi ke penjara dan membebaskan Nabi Yusuf dan membawanya datang ke hadapan baginda.

Utusan raja pun pergi menemui Nabi Yusuf di dalam penjara tetapi Nabi Yusuf tidak mahu dibebaskan.

Nabi Yusuf menyuruh utusan raja itu balik dengan membawa pesan, iaitu raja hendaklah memanggil perempuan-perempuan yang pernah melukai tangan masing-masing dalam majlis isteri al-Aziz, supaya mereka menerangkan kepada raja apa yang sebenarnya berlaku, sebab Nabi Yusuf hendak membuktikan bahawa dia tidak pernah mengkhianati kepercayaan al-Aziz pada kejujurannya.

Raja Mesir pun memanggil isteri al-Aziz dan perempuan-perempuan yang pernah melukai tangan mereka sendiri sewaktu terpandang Nabi Yusuf dahulu supaya datang menghadap. Apabila disoal-siasat, isteri al-Aziz mengaku dialah yang cuba menggoda Nabi Yusuf, tetapi cintanya ditolak oleh Nabi Yusuf.

Apabila Raja Mesir mendengar pengakuan isteri al-Aziz itu, baginda menyuruh supaya Nabi Yusuf dibebaskan dan dibawa menghadap. Kemudian baginda melantik Nabi Yusuf menjadi orang kepercayaan dan penasihat peribadi baginda. Nabi Yusuf memohon kepada Raja Mesir supaya dia dilantik menjadi pengurus perbendaharaan hasil bumi Mesir kerana dia mengetahui cara-cara mentadbirkannya.

Kemudian tibalah musim kemarau yang amat panjang yang meliputi kawasan negeri Mesir dan bumi Palestin sehingga penduduk Palestin diancam kebuluran, manakala penduduk di negeri Mesir sudah bersedia dengan simpanan makanan secukupnya.

Abang-abang Nabi Yusuf yang tinggal di Palestin pergi ke Mesir bagi menukar barangan dengan makanan. Mereka masuk ke bandar Mesir dan pergi menemui Nabi Yusuf yang menjaga gudang simpanan makanan. Dalam pertemuan itu Nabi Yusuf serta-merta kenal abang-abangnya tetapi mereka tidak mengenalinya.

Semasa Nabi Yusuf menyediakan barang-barang makanan untuk dibawa pulang oleh abang-abangnya, dia meminta supaya nanti apabila mereka datang lagi, mereka hendaklah membawa bersama Nabi Bunyamin, jika tidak Nabi Yusuf tidak mahu menjual barang makanan kepada mereka lagi. Mereka berjanji akan memujuk ayah mereka supaya membenarkan Nabi Bunyamin ikut mereka pergi membeli makanan ke Mesir.

Tanpa diketahui oleh abang-abangnya, Nabi Yusuf menyuruh pembantunya memasukkan semula barang-barang tukaran yang dibawa oleh abang-abangnya ke dalam bungkusan bahan makanan yang sudah dijual kepada mereka, supaya dibawa pulang ke Palestin.

Abang-abang Nabi Yusuf pun pulang ke Palestin. Semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka terkejut kerana mendapati barang-barang tukaran yang mereka serahkan kepada Nabi Yusuf ada dalam bungkusan makanan yang mereka beli.

Mereka kemudian memberitahu ayah mereka, Nabi Yaakub, bahawa mereka sudah diberi amaran lain kali mereka tidak akan dibenarkan membeli makanan lagi sekiranya Nabi Bunyamin tidak ikut pergi bersama.

Nabi Yaakub berat hati, tetapi mereka berjanji akan menjaga keselamatan Nabi Bunyamin, lagipun jika Nabi Bunyamin ikut, mereka dapat membawa pulang tambahan makanan seberat seekor unta lagi.

Apabila tiba masanya mereka hendak ke Mesir bagi membeli makanan lagi, Nabi Yaakub berpesan supaya mereka jangan masuk ke bandar Mesir dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu-pintu lain.

Setibanya di Mesir mereka masuk ke bandar lalu menemui Nabi Yusuf. Nabi Yusuf mengajak Nabi Bunyamin duduk di sisinya lalu Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya dan memberitahu supaya Nabi Bunyamin jangan bersusah hati.

Kemudian, Tuhan memberi ilham kepada Nabi Yusuf supaya semasa Nabi Yusuf menyediakan barang-barang makanan untuk dibawa pulang oleh abang-abangnya, dia meletakkan piala minuman Raja Mesir di dalam tempat barang-barang yang diletakkan di atas unta Nabi Bunyamin.

Kemudian Nabi Yusuf menyuruh pembantunya pura-pura menjerit mengatakan Raja Mesir kehilangan piala minuman baginda dan menuduh abang-abang Nabi Yusuf yang mencuri piala raja itu.

Unta-unta kenderaan abang-abang Nabi Yusuf pun disiasat dan terbukti mereka menjumpai piala raja itu dalam tempat simpanan barang-barang pada unta Nabi Bunyamin. Sebagai hukuman Nabi Yusuf mengarahkan supaya Nabi Bunyamin ditahan di Mesir dan tidak dibenarkan pulang ke Palestin.

Abang-abang Nabi Yusuf merayu supaya Nabi Bunyamin tidak ditahan, sebab mereka sudah berjanji kepada ayah mereka yang sudah amat tua bahawa mereka akan menjaga keselamatan Nabi Bunyamin, tetapi rayuan mereka ditolak oleh Nabi Yusuf.

Kemudian, disebabkan abang sulung Nabi Yusuf berasa amat bersalah, dia mengambil keputusan tidak mahu pulang ke Palestin sementara yang lain pulang.

Apabila berita itu disampaikan kepada ayah mereka, Nabi Yaakub tersangat berdukacita dan sentiasa menitiskan air mata sehingga dia menjadi buta. Selepas beberapa waktu, Nabi Yaakub menyuruh abang-abang Nabi Yusuf pergi semula ke Mesir membeli barang makan dan mencari berita tentang Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin.

Maka mereka pun sekali lagi pergi ke Mesir. Setibanya di sana mereka terus pergi menemui Nabi Yusuf dengan membawa barang-barang tukaran yang kurang elok mutunya bagi membeli bahan makanan, kerana itu mereka merayu supaya mereka dikasihani.

Pada saat itulah Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya yang sebenar dan memperingatkan abang-abangnya akan apa yang telah mereka lakukan kepadanya suatu masa dahulu.

Kemudian apabila abang-abangnya sudah bersedia pulang ke Palestin, Nabi Yusuf mengirimkan bajunya dengan pesanan supaya baju itu disapukan ke muka Nabi Yaakub. Nabi Yusuf juga menyuruh abang-abangnya datang semula ke Mesir dengan membawa ibu bapanya bersama.

Semasa abang-abang Nabi Yusuf masih dalam perjalanan pulang, Nabi Yaakub memberitahu saudara-maranya dia tercium-cium bau badan Nabi Yusuf, tetapi mereka tidak percaya sebab pada sangkaan mereka Nabi Yaakub sudah sangat tua dan kata-katanya itu adalah kata-kata orang tua yang nyanyuk.

Sebaik-baik abang-abang Nabi Yusuf tiba dari Mesir, mereka menyapukan baju Nabi Yusuf ke muka Nabi Yaakub lalu ayah mereka dapat melihat kembali. Abang-abang Nabi Yusuf mengaku telah berdosa dan meminta supaya ayah mereka meminta ampun bagi pihak mereka lalu Nabi Yaakub memohon Allah mengampun anak-anaknya yang sudah insaf.

Abang-abang Nabi Yusuf kemudian membawa ibu bapa mereka ke Mesir bagi berjumpa semula dengan Nabi Yusuf. Apabila mereka berjumpa, Nabi Yusuf memeluk kedua ibu bapanya lalu menjemput mereka duduk di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya termasuk abang-abangnya tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf.

Kata Nabi Yusuf, itulah makna taabir mimpinya dahulu, iaitu bapanya, ibunya dan sebelas adik-beradiknya menghormati dirinya sebagai manusia yang mulia di sisi Allah.


Tiada ulasan: