.

Sabtu, 11 Jun 2011

iPHONE4 DAPAT SENTUHAN WARGA MALAYSIA


Lim teruja dapat peluang bekerja dengan kumpulan pereka Apple Inc


KUALA LUMPUR: Siapa sangka, telefon pintar, iPhone4 yang mencetus fenomena di kalangan peminat gajet di seluruh dunia mendapat sentuhan remaja Malaysia, Timothy Lim, 24, yang dipilih gergasi elektronik dan perisian komputer, Apple Inc untuk menyertai kumpulan pereka dalam projek membangunkan alat telekomunikasi canggih itu.
Lim yang kini bertugas sepenuh masa dengan Yahoo! Inc sebagai Penganalisis Sistem Perniagaan Bahagian Pengurusan Operasi berkata, peluang bekerja dengan kumpulan pereka iPhone4 pada 2008 dianggap suatu permulaan positif untuk memburu impiannya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada peringkat global.

“Ia bukan saja mencabar malah cukup menyeronokkan. Biarpun pasukan kami datang dari pelbagai budaya dan latar belakang serta usia, kami diberi sepenuhnya autonomi dari segi kreativiti bagi menghasilkan generasi iPhone terbaik dalam kelasnya yang tersendiri.

“Ternyata pengalaman bersama Apple cukup mengujakan, siapa sangka anak Malaysia seperti saya diberi peluang menyumbang dalam rekaan gajet generasi masa kini seperti iPhone4,” katanya pada sidang media untuk berkongsi pengalaman membangunkan iPhone4 dan bekerjasama bersama krew teknikal dan pereka Apple Inc di sini, semalam.

Lim yang kembali ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga selepas menghadiri perkahwinan saudara terdekat di Phuket, Thailand, akan berlepas pulang ke Amerika Syarikat (AS), esok.

Beliau yang mesra dipanggil Tim, mencipta sejarah tersendiri apabila memperoleh 16A1 dalam peperiksaan A Level pada 2007. Selain cemerlang dalam bidang akademik, jejaka kelahiran London, United Kingdom (UK) ini juga menggemari sukan lasak dan muzik.
Lim yang memiliki dua ijazah kejuruteraan iaitu Kejuruteraan Biokimia serta Pengurusan Sains dan Kejuruteraan dari Universiti Stanford, California, menyifatkan pengalaman bersama Apple Inc adalah asas terbaik untuk menyertai bidang perundingan dan pengurusan.

“Sekarang saya menyalurkan kreativiti dalam membangunkan rekaan teknologi maklumat (IT) dengan beberapa syarikat lain seperti Dancing Astronaut iaitu sebuah laman muzik tarian elektronik,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja di seberang laut, Lim berkata, ramai anak-anak Malaysia pintar menjadi penuntut contoh di universiti tersohor di luar negara.

“Bagaimanapun, kebolehan dan pengetahuan mereka hanya sia-sia jika negara masih ketinggalan dari segi menyediakan keperluan dan kemudahan yang setimpal dengan kepakaran mereka.

“Saya berkerja di luar negara bukan semata-mata kerana wang atau nama, sebaliknya lebih kepada menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan kerana saya nampak potensi Malaysia yang sangat cerah untuk menjadi peneraju dalam bidang telekomunikasi dan IT,” katanya.

Ditanya nasihat beliau kepada generasi muda tempatan, Lim berkata:

“Nasihat terbaik ialah jangan sesekali hadkan sasaran anda dalam apa juga bidang yang diceburi, sentiasa berfikir di luar kotak dan usah sesekali terdorong dengan tradisi untuk menjadi seorang profesional kerana wang dan prestij.

“Kembalikan dan kongsi sesuatu yang dapat disumbangkan kepada masyarakat serta dimanfaatkan demi kebaikan bersama. Malah, lebih wajar jika kita sama-sama fikirkan cara mengaplikasikan apa yang ditimba di luar negara demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih makmur dan maju,” katanya.

Lim berjanji suatu hari kelak, beliau akan pulang ke tanah air dan menyumbang kepakarannya dalam bidang kejuruteraan dan pembangunan telekomunikasi.

(Berita Harian)

Tiada ulasan: