.

Khamis, 19 Mei 2011

10 SEBAB MALAYSIA DESTINASI TEPAT UNTUK MELABUR

NEW YORK: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menyenaraikan 10 sebab Malaysia merupakan tempat yang tepat untuk melabur, dengan berkata kini masa yang sesuai untuk berbuat demikian memandangkan ekonomi semakin meningkat.

Berucap kepada pelabur-pelabur Amerika Syarikat pada Forum "Invest Malaysia New York 2011" yang berlangsung di Bursa Saham New York, Perdana Menteri berkata negara mempunyai kekuatan ekonomi dalam kepelbagaiannya, dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

"Sekiranya kami terus bersaing dalam ekonomi global baru, kami perlu menjadikan sebahagian besar bakat di kalangan rakyat kami dan bukan hanya sebahagian daripada mereka...bangsa Melayu, Cina dan India adalah sama dan bersatu dalam semangat 1Malaysia bagi membolehkan setiap orang memainkan peranan masing-masing.

"Sebagaimana masyarakat pelbagai imigran dengan budaya berbeza di Amerika yang menjadi sumber keteguhan, saya yakin terdapat kekuatan dalam kepelbagaian Malaysia," kata beliau pada pelancaran berkenaan yang dihadiri 363 bakal pelabur.

Keduanya, Najib merujuk kepada semangat dalam bidang perniagaan yang memacu negara dan berkata 10 ketua syarikat paling berjaya termasuk Air Asia, syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, yang dibawa bersama dalam misi ke New York itu.

Axiata, kata beliau, mempunyai lebih 150 juta pelanggan mudah alih yang menawarkan perkhidmatan kepada lebih 1.5 bilion orang di 10 negara dan Malayan Banking Bhd serta CIMB Bhd, dua daripada lima kumpulan perbankan utama Asean juga semakin kukuh di rantau berkenaan.

"Mereka hanya beberapa daripada banyak syarikat Malaysia yang kukuh di Asean dan melangkauinya," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Najib juga menjelaskan kepada mereka yang hadir bahawa hubungan sejarah Malaysia dengan China, India dan Timur Tengah bermakna negara dapat melibatkan diri dengan pusat pertumbuhan ekonomi baru muncul itu dan serentak dengan mengadakan jalinan dengan barat.

Ini, kata beliau, adalah sebab kenapa lebih 5,000 syarikat dari lebih 60 negara menubuhkan pangkalan di Malaysia, dan menambah yang negara menjadi lokasi lebih 160 ibu pejabat operasi, 209 pusat pemerolehan antarabangsa, 19 pusat pengedaran serantau dan angka ini bersedia untuk berkembang.

"Melabur di Malaysia, anda akan mendapat seluruh Asia," kata beliau.

Keempatnya, Najib berkata Malaysia akan terus meliberalisasikan perkhidmatan utama selain daripada meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan yang diumumkan dua tahun lepas.

Najib berkata beliau menjangka sektor perkhidmatan, tidak termasuk perkhidmatan kerajaan, akan berkembang lebih tujuh peratus setahun sehingga 2015, meningkatkan sumbanganya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 61 peratus.

Perdana Menteri juga memaklumkan pelabur AS bahawa "kerajaan mengetahui yang terbaik" telah berlalu dan menjadi sebab kenapa beliau mengadakan Program Transformasi Kerajaan atau GTP.

"Sasarannya untuk menjadikan penyampaian kerajaan bagi perkhidmatan awam lebih efektif dan bagi menggerakkan Malaysia ke hadapan untuk menjadikannya maju, bersatu dan masyarakat saksama dengan standard kehidupan yang tinggi untuk semua," kata beliau.

Walaupun bukan mudah, Najib berkata GTP telah menunjukkan hasil sebenar, dengan memberi contoh laman web My Procurement yang meningkatkan tahap ketelusan di mana butir-butir pembida yang berjaya bagi 3,500 kontrak kerajaan kini disenaraikan dalam talian.

Tambahan pula, kata Perdana Menteri, ekonomi juga melalui transformasi dengan memberi menyebut 12 bidang utama yang telah dikenal pasti untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengadakan 131 Projek Permulaan (EPP) bagi memulakan pembangunan di seluruh sektor.

Dalam hanya enam bulan, Najib berkata kerajaan telah melancarkan 72 projek dan inisiatif dalam 54 EPP berasingan manakala komitmen pelaburan setakat ini berjumlah lebih US$35 bilion dan dijangka mewujudkan hampir 298,000 pekerjaan dalam masa 10 tahun akan datang.

Najib berkata alasan ketujuh ialah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam industri Malaysia yang mencatatkan rekod, di mana pelaburan asing dalam projek yang diluluskan hampir US$10 bilion, kenaikan hampir 32 peratus.

Sumber terbesar pelaburan asing ialah Amerika Syarikat dan corak pertumbuhan FDI dilihat berterusan pada 2011.

Perkara kelapan yang disentuh Najib ialah mengenai peningkatan dana asing dalam pasaran modal Malaysia, dan berkata prestasi hebat Bursa Malaysia pada 7 Jan, 2011, apabila penunjuk pasaran utama, FBM KLCI, mencecah 1,572.21 mata, paras tertinggi sejak 1998.

Najib berkata unjuran oleh Barclays Capital menyatakan peningkatan status pasaran modal Malaysia daripada "sekunder" kepada "baru muncul maju", bulan depan, akan menarik sehingga US$3 bilion dalam aliran masuk modal baru dan menaikkan kedudukan Malaysia dalam indeks antarabangsa.

Semasa mengulas lanjut, Najib berkata pelabur-pelabur seharusnya memanfaatkan Asean, yang mempunyai lebih 600 juta rakyat, manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka pada purata enam peratus setahun.

"Jika Asean merupakan negara tunggal, ia akan bernilai US$2 trilion, dan pada kedudukan ekonomi kesembilan terbesar dalam dunia dan ketiga terbesar di Asia.

"Saya telah memberikan sembilan alasan yang menarik kenapa Malaysia merupakan tempat yang tepat untuk melabur. Alasan kesepuluh saya agak mudah, sekarang ini - kini peluang anda untuk memulakan usaha teroka," kata Najib.

Dengan memberi contoh keputusan radikal usahawan terkenal Henry Ford untuk membayar lebih kepada pekerjanya dengan pelbagai kemelut yang ditempuhi syarikat untuk menjadi syarikat automobil yang besar, Najib berkata beliau berazam untuk membawa perubahan yang diperlukan negara bagi memacu transformasinya.

"Kami berazam untuk membangunkan dan melaksanakan, apabila anda melabur dalam program transformasi Malaysia, anda akan memperoleh lebih US$440 bilion dalam peluang," kata Najib.


(BERNAMA)

Tiada ulasan: