.

Sabtu, 5 Mac 2011

SITI RAKAM ALBUM INGGERIS


DATUK SITI NURHALIZA


ANDAI sebelum ini penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin cukup sinonim mendendangkan lagu-lagu berbahasa Melayu sehinggakan pernah menghasilkan beberapa album tradisional, tidak lama lagi peminat berpeluang mendengar bagaimana biduanita ini melantunkan lagu-lagu berbahasa Inggeris pula.

Dia yang kini dalam perancangan menghasilkan album terbarunya itu sudah pun merakamkan sebanyak enam buah lagu sejak hujung Januari lalu.

Jelas penyanyi yang cukup gemar disapa sebagai Siti ini, album yang mendapat kerjasama daripada komposer dan penyanyi dari Australia itu adalah jalinan kerjasama pertama syarikatnya, Sini Nurhaliza Production (SNP) dengan Wassup Entertainment yang dimiliki oleh anak tirinya, Adib.

Berkonsepkan pop moden, jelas Siti ketika ditemui pada sidang akhbar persembahan Minggu Setiausaha bersama Hotel Quality di Hotel Quality, Kuala Lumpur baru-baru ini, sebanyak 10 buah lagu akan dimuatkan di dalam album tersebut.

"Sejak dulu lagi saya berhasrat merakamkan album Inggeris dan langkah itu jadi lebih mudah apabila komposer yang kami ambil untuk bekerjasama itu adalah rakan Adib sendiri.

"Ini merupakan projek istimewa SNP dengan Wassup Entertainment untuk menerbitkan album Inggeris.

"Setakat ini proses rakaman berjalan dengan lancar dan insya-Allah ia akan dipasarkan di Malaysia dan luar negara pada pertengahan tahun ini," kata Siti.

Dua komposer yang terlibat ialah Brian Bruno dan Christian Alexander yang juga merupakan salah seorang penyanyi popular di Australia.

Berbeza dengan album-album yang pernah dirakamkan sebelum ini, kata Siti, dia menghadapi masalah apabila perlu memberi perhatian terhadap sebutan bait-bait lirik yang terkandung dalam setiap lagu yang dirakamkan itu.

"Biasalah apabila sudah bekerjasama dengan orang luar, slang kena jaga dan itu yang saya rasa agak sukar sebab nak kena pastikan ia betul. Bagaimanapun, semuanya jadi mudah kerana Brian dan Christian memang banyak membantu," kata Siti lagi.

Minggu setiausaha

Berbalik kepada Minggu Setiausaha bersama Hotel Quality, Siti meneruskan kerjasama kali ketujuh bersama hotel tersebut pada 5 April ini bertempat di Matrade Exhibition & Convention Centre (MECC) bertemakan Nostalgia.

Dikendalikan oleh hos dan pelawak yang tidak asing lagi, Dee (Jangan Ketawa), para setiausaha yang hadir khususnya peminat setia penyanyi itu bakal dihiburkan dengan lagu-lagu nostalgia yang pernah dipopularkan oleh Siti termasuk beberapa lagu yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi lain.

"Ini merupakan persembahan eksklusif saya untuk persembahan Minggu Setiausaha pada tahun ini. Walaupun beberapa tahun saya tidak mengadakan persembahan untuk Hotel Quality, namun itu tidak bermakna kami terputus hubungan.

"Oleh itu, tahun ini saya pulang semula untuk mengadakan persembahan dan persahabatan ini saya anggap begitu istimewa. Tujuh tahun bukan tempoh yang pendek. Ia bagaikan nostalgia bagi diri saya dan sebab itu persembahan kali ini kami memilih tema Nostalgia," katanya.

Jelas Siti, persembahan antara 45 minit hingga satu jam yang diiringi oleh komposer dan pemuzik Aubrey Suwito itu, bakal memperlihatkan bagaimana Siti melantunkan vokal uniknya mendendangkan lagu-lagu nostalgia yang digubah semula susunan muziknya.

Dari segi konsep persembahan, kata Siti, dia masih lagi diberi kepercayaan oleh pihak Hotel Quality untuk mencorak persembahannya.

Selain usik-mengusik bersama peminat yang hadir, dia dan Dee juga bakal mengajak penonton untuk sama-sama menyertai beberapa permainan.

Kepada yang berminat untuk menyaksikan persembahan artis kesayangan ramai itubolehlah hubungi talian 03-26939233 (sambungan 8023 atau 8017) atau emailkan kepada fnb@quality.com.my.

Tiket-tiket dijual pada kadar harga antara RM340 hingga RM550 seorang. Harga tertakluk kepada 6 peratus cukai kerajaan dan 10 peratus caj perkhidmatan.

(Utusan Malaysia)

Tiada ulasan: