.

Jumaat, 11 Mac 2011

PERTANDINGAN PIDATO BAHASA MELAYU 2011


Penulis baru sahaja selesai menonton Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM 2011) yang disiarkan secara langsung oleh siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM1) dari PICC, Putrajaya.

Puas Hati!!

Itulah ungkapan yang dilafazkan terhadap acara tahunan yang telah masuk tahun kelima pengajurannya. Kali pertama diperkenalkan pada 2007, pertandingan ini menyaksikan peserta dari Malaysia iaitu saudara Mohd Daud Mat Din yang juga pelajar jurusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapat naib johan ketika itu.

Dari setahun ke setahun pertandingan ini boleh disifatkan berevolusi secara baik dan cukup menarik. Daripada jumlah peserta dan negara yang bertanding sehinggalah kepada kepetahan, aksi, serta gelagat para peserta terutama pada pertandingan kemuncak malam ini bolehlah dikatakan banyak peningkatan dan sungguh menghiburkan.

Difahamkan acara yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu: Nusantara dan Antarabangsa ini disertai seramai 59 orang peserta dari 54 buah negara yang meliputi 6 benua. Justeru, fakta ini benar-benar menggambarkan betapa pertandingan tersebut semakin mendapat perhatian, sambutan dan penerimaan daripada pelajar-pelajar universiti antarabangsa khususnya mereka yang mempelajari Bahasa Melayu.

Malam Kemuncak

Rata-rata persembahan kemuncak peserta akhir pada malam ini cukup menarik terutama menerusi Kategori Antarabangsa. Dalam keghairahan menyampaikan hujah masing-masing, para peserta dilihat cukup bersedia, bersahaja dan memahami kandungan fakta yang ingin disampaikan. Ini dapat dilihat melalui gaya peserta yang seiring dengan perkataan yang diucapkan. Mereka juga tidak kelihatan seperti menghafal atau terlalu bergantung kepada teks pidato masing-masing.

Pada masa sama, peserta akhir kategori ini turut menitikberatkan soal isi yang menjadi fakta serta isu terkini. Misalnya, peristiwa yang berlaku di Asia Barat seperti Mesir, Tunisia dan Libya. Strategi yang menjadi dasar pelaksanaan oleh kerajaan Malaysia di negara ini juga ada disentuh oleh beberapa peserta. Antaranya kempen budi bahasa, perpaduan kaum, dan kemajuan negara.

Slogan "1Malaysia" pula riuh kedengaran sebagai salah satu frasa prolog yang seakan-akan wajib disebut setiap kali pembukaan pidato masing-masing. Tidak ketinggalan pepatah melayu, puisi tradisional seperti pantun, terjemahan daripada ayat-ayat suci serta Hadith dan mutiara kata daripada cendekiawan ulung menyerikan lagi pidato peserta akhir tadi.

Walaupun terdapat peserta yang mengalami masalah diksi dan sebutan-sebutan tertentu dalam beberapa perkataan namun seperti yang dikatakan oleh pengacara, saudara Aidil Abd Ghafar tadi ianya bukan menjadi suatu halangan kerana para peserta hanya belajar Bahasa Melayu sekitar satu tahun hingga tiga tahun semasa di peringkat Universiti.

Nusantara

Tahun ini pertandingan tidak menampilkan peserta Indonesia sebagai negara yang bersaing di pentas akhir. Pun begitu, peserta daripada Brunei Darussalam dan Singapura sudah mulai menampakkan sedikit peningkatan terhadap penyampaian terutama daripada sudut penghayatan dan gerak badan (gesture). Penulis juga berpendapat bahawa dua peserta tersebut cuba untuk mengikuti jejak langkah pemenang sebelum ini apabila sedikit berjaya mengatur rima di setiap akhir ayat yang ingin disampaikan agar kedengaran sama.

Walaubagaimana pun, bagi peserta Malaysia iaitu saudara Amiruddin Abd Rahman yang juga salah seorang pendebat Universiti Putra Malaysia (UPM), penulis tertanta-tanya: mengapa corak persembahan peserta yang pernah bergelar Johan Pidato Keselamatan ini agak kurang daya serinya? Atau mungkinkah salah penulis sendiri kerana mempunyai persepsi yang maha tinggi untuk pidatonya malam ini berdasarkan persembahan beliau yang selalu penulis saksikan?

Benar!
Penulis bukanlah orang yang layak untuk memberi komentar ini memandangkan beliau adalah antara ikon pemidato tersohor peringkat Universiti yang telah merangkul pelbagai jenis piala dalam pertandingan pidato Intervarsiti. Cuma naluri merasakan bahawa beliau sebenarnya mampu berpidato jauh lebih baik daripada yang dipertontonkan tadi.

Saudara Amiruddin pada kebiasaan amat gemar dan pakar dalam menyamakan bunyi pada jeda akhir setiap bait-bait ayat yang ingin dilafazkan. Ada kalanya pendengar tidak terfikir pun pemilihan perkataan yang akan digunakan adalah sama rima akhirnya. Itulah kelebihan yang susah untuk dicari pada seorang pemidato. Perlukan banyak masa untuk mengkaji perkataan, membaca serta tempoh latihan yang intensif maka barulah dapat untuk melakukannya. Mungkin!

Beliau juga sering dilihat sangat teliti dalam penggunaan perkataan untuk dijadikan daya penarik agar indah diperdengarkan. Namun, malam ini kekuatan itu kurang ditonjol kepada umum. Mungkin disebabkan perkara itu bukanlah aspek atau faktor terpenting dalam pemarkahan. Malah, kepelbagaian nada dan ekspresi juga tidak sehebat pertandingan-pertandingan yang pernah penulis lihat sebelum ini. Kedengaran sama dan agak mendatar sahaja. Pastinya beliau ada alasan tersendiri.

Apa pun, penulis secara peribadi sememangnya kagum dengan bakat beliau sebagai seorang pemidato yang sering menyajikan fakta-fakta menarik dalam penyampaian hujah walaupun sebelum ini dalam satu temuramah media beliau sendiri mengakui salah satu kelemahan yang ada pada dirinya adalah kurang daya humor. Namun, itu tidak menjadi masalah kerana setiap pemidato memang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tahniah diucapkan kepada saudara Amiruddin atas kemenangan Kategori nusantara sekaligus mengikuti perjalanan sahabatnya sebelum ini, saudara Shamsul.

Keputusan

Secara keseluruhan, keputusan malam ini secara peribadi amatlah memuaskan dengan peserta dari Turki dilihat berjaya memikat hati juri. Tahniah kepada beliau . Semoga semangat untuk mengantarabangsakan Bahasa Melayu ke peringkat global akan lebih diterima masyarakat dunia dan menjadi lingua-franka seperti dalam lipatan sejarah negara sebelum ini. Insya-Allah.
Sekian ... .. .

KEPUTUSAN PENUH:

ANTARABANGSA:-
1.) HALIL IBRAHIM - TURKI
2.) TANIA VANAUSFOVAR - RUSIA
3.) JENEVIR WAD - AUSTRALIA

NUSANTARA:-
1.) AMIRUDDIN ABD RAHMAN - MALAYSIA
2.) AWANG HJ ABD RASHID AWANG HAMID - BRUNEI
3.) MOHD IZWAN OTHMAN - SINGAPURA






Tiada ulasan: