.

Ahad, 13 Februari 2011

PERSOALAN AGAMA: QADA MESTI DILAKUKAN SEGERA SELEPAS HALANGAN SELESAI

SOALAN:
Ayah saya sudah meninggal dunia. Ketika arwah sakit tenat, beliau meminta ibu saya membayarkan fidyah sebagai qada solatnya. Ayah saya mengalami sakit lumpuh selama lapan tahun dan tidak dapat bercakap dengan jelas. Persoalan saya, apakah dia wajib mengqadanya.

JAWAPAN:
Mengerjakan suatu kewajipan sesudah berlalu waktunya disebut sebagai mengerjakan qada. Seorang Muslim mestilah melaksanakan kewajipannya termasuk solat pada waktu yang ditetapkan oleh Allah. Seorang itu dikira berdosa sekiranya menangguh solat sehingga terlepas waktu tanpa ada sebarang uzur.

Dalam Perang Khandak, Nabi Muhammad SAW berada dalam situasi yang sangat mencengkam, sehingga tidak sempat mengerjakan empat fardu solat sehinggalah jauh malam. Akhirnya, Baginda melaksanakan solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak secara berturut-turut diselangi iqamah. Demikian riwayat daripada at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ahmad. Setiap orang yang mempunyai kewajipan sudah semestinya ditunaikan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari daripada Ibnu Abbas yang bermaksud, “(Hutang kepada) Allah adalah lebih patut ditunaikan.”

Kalangan ulama sudah sepakat bahawa wanita yang sedang haid dan baru melahirkan (nifas), orang kafir yang belum pernah memeluk Islam atau orang gila, semuanya tidak wajib untuk qada solatnya. Orang yang tertidur, terlupa, atau dalam situasi yang tidak mengizinkan (bimbang yang berkaitan dengan diri atau orang lain seperti doktor yang menjaga pesakit yang dalam keadaan kritikal) dituntut untuk qada solatnya. Ketika itu mereka tidaklah dikira berdosa.
Qada mestilah dilaksanakan segera sesudah uzur atau halangan itu selesai. Jika seseorang itu sudah berkali-kali meninggalkan solat sama ada uzur atau tidak, maka hendaklah ia menghitung kembali atau hendaklah dia menduga dengan sungguh-sungguh atau penuh yakin berapa kali ia sudah meninggalkan solat, kemudian hendaklah ia qada.

Adapun orang sakit yang sudah meninggal dunia dan ketika sakit tidak mampu untuk melaksanakan solat, walaupun dengan isyarat, maka dalam mazhab Abu Hanifah, dia tidak wajib memberi wasiat untuk membayar kafarah atau fidyah. Adapun orang yang mampu mengerjakan solat walau dengan isyarat tetapi tidak melaksanakannya, maka dalam kes seperti ini hendaklah dia berwasiat agar keluarganya membayar kafarat iaitu daripada harta yang ditinggalkannya. Sekiranya ia tidak berpesan atau tidak memiliki harta, keluarga boleh saja secara sukarela membayarkan fidyah atau kafaratnya. Wallahua’lam.

(BERITA MINGGU)

Tiada ulasan: