.

Selasa, 18 Januari 2011

SAUDARA MARA BEN ALI LARIKAN 1.5 TAN EMAS

PM umum mula pemerintahan kerajaan campuran baru Tunisia

PARIS: Saudara mara bekas Presiden Tunisia yang digulingkan, Zine al Abidine Ben Ali dikatakan keluar dari negara itu dengan 1.5 tan emas, lapor akhbar Le Monde yang memetik sumber risikan Perancis.
Emas seberat 1.5 tan dilaporkan mencapai nilai AS$65 juta (RM194.6 juta) dalam pasaran terbuka.

Pejabat Presiden Nicolas Sarkozy sudah diberikan taklimat oleh pasukan perisikan Perancis bahawa isteri kedua Ben Ali, Leila Trabelsi, mengeluarkan jongkong emas daripada bank pusat Tunisia minggu lalu.

Gabenor bank menolak permintaannya tetapi terpaksa mengalah selepas mendapat tekanan dari Ben Ali sendiri, menurut laporan itu.

Ben Ali dan Leila sudah keluar dari Tunisia selepas gelombang protes jalanan dan kemarahan yang memuncak rakyat terhadap keluarga pemimpin itu yang didakwa menyalahgunakan sumber negara. Bagaimanapun, Bank Pusat Tunisia menafikan laporan berkenaan.

“Simpanan emas dalam bank pusat ini tidak disentuh dalam beberapa hari lalu. Begitu juga wang tunai. Negara ini mempunyai peraturan ketat,” kata seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan.

Di TUNIS, Perdana Menteri Tunisia berjanji akan mengumumkan kerajaan campuran baru untuk mengekalkan momentum kemajuan politik bagi mematahkan protes dan melemahkan pasukan bersenjata yang berpihak kepada bekas presiden.

Pasukan khas Tunisia bertempur dengan pasukan pengawal bersenjata bekas presiden di istana presiden kelmarin, selepas dua hari presiden yang memerintah negara itu selama 23 tahun Zine al-Abidine Ben Ali digulingkan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi berjanji tindakan pantas akan diambil bagi mengisi kekosongan itu.

“Esok (semalam) kami akan mengumumkan kerajaan baru yang bakal membuka sejarah baru dalam sejarah Tunisia,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Tiga pemimpin pembangkang dijangka akan dilantik dalam kerajaan campuran itu, kata dua sumber yang rapat dengan penubuhan kerajaan baru itu. Tetapi, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri dalam pentadbiran lama dikekalkan.

Sementara pasukan yang setia kepada kepimpinan Ben Ali bertempur dengan tentera di istana presiden, dua lelaki bersenjata di bumbung berdekatan bank pusat terbunuh apabila ditembak dari helikopter. Kereta perisai turut diletakkan di kawasan ibu negara, Tunis dan tentera mengawal bangunan awam. – AFP/Reuters

Tiada ulasan: