REVOLUSI rakyat mula melonjak di dunia Arab. Ia bermula di Tunisia dan kini menjalar di beberapa negara Arab. Revolusi massa itu menonjolkan kebangkitan rakyat, terutamanya generasi muda yang bangkit memprotes dan menentang pemerintahan negara masing-masing yang dilihat bermasalah.
Senario kebangkitan revolusi massa ini turut berlaku di Mesir, Jordan dan Yaman.
Di Tunisia, ia bermula dengan tindakan seorang sarjana yang bernama Bouazizi membakar diri sebagai lambang protes terhadap kerajaan yang gagal menyediakan peluang pekerjaan serta membaiki ekonomi Tunisia telah menjatuhkan kerajaan.
Selain itu, isu rasuah, penyelewengan dan nepotisme yang meluas di bawah pemerintahan Zine al- Abidine Ben Ali juga menjadi faktor kebangkitan revolusi massa di negara itu. Dalam jangka masa beberapa hari sahaja, kerajaan Tunisia pimpinan Zine al-Abidine Ben Ali telah dapat digulingkan pada 14 Januari lalu.
Kejatuhannya dalam masa yang singkat dan mudah ini melambangkan adanya kesedaran dan kekuatan yang padu di kalangan rakyatnya. Setelah Zine al- Abidine Ben Ali dan isterinya lari ke luar negara, Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi berusaha untuk menyegerakan susunan Kabinet baru.
Beliau sendiri berharap momentum gerakan massa akan terus bertahan bagi mengurangkan kekuatan dan tekanan pihak yang setia terhadap presiden yang digulingkan itu. Lanjutan daripada apa yang berlaku di Tunisia, kini kebangkitan rakyat yang serius dan bersungguh-sungguh merebak di Mesir, Yaman dan Jordan. Yang nyata, krisis politik di Tunisia wajar dijadikan pengajaran buat mana-mana kerajaan yang tidak menghiraukan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Selain itu, apa yang berlaku di Tunisia juga melambangkan betapa kebangkitan generasi muda mempunyai tenaga yang cukup kuat dalam menjatuhkan sesebuah kerajaan itu. Ini juga pernah berlaku di Indonesia dalam kes kejatuhan Suharto. Roh demokrasi yang terlalu disekat juga membuatkan penduduk di Tunisia merasa kecewa sehingga membenihkan keinginan untuk melakukan reformasi.
Justeru, pergolakan yang sedang berlaku di Tunisia dan beberapa negara Arab itu harus dijadikan iktibar, peringatan dan pengajaran kepada negara-negara lain, khususnya di negara-negara membangun di mana kerajaan yang memerintah sering dipersoalkan kewibawaannya sama ada dalam mengurus ekonomi, melaksanakan demokrasi dan juga persoalan mengenai integriti.
(Utusan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan