.

Ahad, 23 Januari 2011

BILA MAHASISWA BERDEBAT

Pidato universiti lahir graduan matang, cungkil bakat pemimpin pelapis

PERDEBATAN keamanan bertajuk ‘Jika saya PM, saya mengusulkan bahawa perdebatan isu rakyat secara terbuka boleh menggugat keamanan negara’, sudah pun berlangsung. Bahasa mudahnya perdebatan terbuka adalah tidak diperlukan di negara ini. Cuma, perdebatan keamanan mengikut format ala-Presiden itu tidak melibatkan ahli politik sebaliknya mahasiswa universiti. Mereka sebenarnya melalui proses latihan supaya petah berpidato dan mampu mengeluarkan idea yang bernas dan kritis untuk menjadi pendebat yang hebat.

Pertandingan akhir Debat Keamanan Ala-Presiden Inter Varsiti Piala Menteri Pengajian Tinggi yang pertama kali diadakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi, malam Khamis lalu disertai Mohd Firdaus Ahmad dari Universiti Malaya (UM) sebagai pencadang manakala Shafiq Mahadi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertindak sebagai pembangkang topik berkenaan.

Jika debat yang membabitkan mahasiswa daripada 30 universiti ini bertujuan untuk mengasah minda mahasiswa supaya menggunakan bahan-bahan penyelidikan (hard skill) dan kemahiran oratori (soft skill) dengan menterjemahkannya melalui idea yang bernas dalam bentuk debat, ia berjaya mencapai matlamatnya. Dengan format perdebatan ala-Presiden – satu lawan satu, ia dianggap menarik, walaupun pada malam itu, tidak banyak hujah dan pandangan luar biasa yang dilontarkan. Adalah lebih menarik jika mahasiswa mengemukakan hujah yang belum diketahui umum, bukan mengolah perkara yang sudah diketahui ramai secara berulang-ulang.

Apa pun, debat itu memberi keyakinan bahawa ramai mahasiswa yang berbakat besar untuk menjadi pemimpin masa depan berasaskan kemampuan mereka berhujah.

Tajuk yang dibincangkan mungkin memberi kelebihan kepada pendebat pembangkang dengan mengambil kira kepada ‘mood’ politik dunia yang menjurus ke arah keterbukaan. Bagaimanapun, debat terbuka dalam dunia tanpa sepadan hari ini berlaku setiap hari. Perdebatan di Parlimen, pelbagai media yang berbeza kecenderungan dan kepentingan, blog, ceramah politik dan sebagainya berlaku setiap hari dan membabitkan ramai pihak. Jika matlamatnya untuk menilai pemimpin dan dasar kerajaan, ia adalah lebih daripada mencukupi. Buat masa ini di Malaysia, malah di kebanyakan negara lain pun, perdebatan terbuka tidak perlu kerana senario dan budaya politik yang berbeza. Malaysia tidak akan menjadi Amerika Syarikat yang biasanya bertukar ganti Presiden sama ada mewakili Republikan atau Demokrat.

Debat Presiden di Amerika Syarikat bermula pada 1976 untuk memilih presiden bagi menerajui negara itu. Walaupun pemimpin melambangkan kekuatan parti, tapi sistem politik di Amerika Syarikat dengan Malaysia, tidak boleh dijadikan perbandingan yang baik. Perdebatan terbuka di kalangan pemimpin di Malaysia hanya boleh menjadi kenyataan apabila isu perkauman dan agama tidak lagi menghantui ketenteraman rakyat dan keselamatan negara.

Sebetulnya, hari ini pun perdebatan di negara ini berlaku 365 hari setahun. Apa juga isu dan perkembangan di negara ini menjadi topik perdebatan, dari kedai kopi hingga ke Parlimen, apatah lagi apabila berlaku pilihan raya kecil seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Labis, Johor.. Dalam tempoh berkempen, bukan saja ahli politik naik pentas, tapi pelbagai taktik dan strategi digunakan untuk mempengaruhi undi. Sememangnya, debat terbuka adalah kaedah rasmi menyampaikan hujah secara logik dan interaktif. Pendengar juga boleh menilai antara retorika dan fakta, selain faktor lain seperti emosi, percubaan mempengaruhi minda dan sebagainya.

Apabila kekurangan barang keperluan, apatah lagi kenaikan harga barang, ia menjadi isu yang diperdebatkan di semua peringkat. Pembangkang meriuhkan isu ini dan rakyat terpanggil untuk sama-sama berbincang kerana ia adalah isu mereka - isu rakyat. Paling munasabah, jika perdebatan membincangkan isu-isu yang menjadi masalah ‘antara hidup atau mati’ rakyat seperti peranan kerajaan dalam meningkatkan mutu pelajaran, perumahan, kesihatan dan pekerjaan.

Sekurang-kurangnya dalam empat bidang ini, ia boleh dijadikan tajuk debat. Pembangkang mungkin tidak berminat membincangkan isu ini kerana ia adalah ukuran kejayaan negara. Sekali pun debat terbuka seperti ‘Big Debate’ yang dianjurkan dari semasa ke semasa di beberapa negara, ia tidak menjadi perkara yang dinanti-nantikan.

Apa pun debat keamanan itu boleh dijadikan satu permulaan bagi menyemarakkan minat untuk berdebat yang selama ini dianggap layu.

Sudut Pidato yang dibenarkan di universiti juga tidak mendapat sambutan. Ini mudah dijawab kerana tidak ada orang yang mahu bercakap tanpa pendengar. Mereka yang berucap tanpa pendengar adalah orang gila. Mungkin debat keamanan ini boleh dijadikan platform terbaru untuk menggalakkan pelajar berdebat. Sudut pidato pula boleh dijadikan tempat mereka berlatih dengan topik yang menarik dan dilakukan secara sistematik.

Keputusan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Debat Keamanan Ala Presiden Inter Varsiti Piala Menteri Pengajian Tinggi sebagai acara tahunan adalah usaha yang baik untuk menjadikan pelajar lebih matang dan produktif.

Tiada ulasan: