.

Jumaat, 3 Disember 2010

BAKAL DISERAP KE JAWATAN TETAP SECARA BERPERINGKAT JIKA MENGAJAR LEBIH 3 TAHUN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan memberhentikan sebahagian daripada 12,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di seluruh negara yang bakal tamat kontrak tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ia bagi memastikan kekurangan tenaga pengajar di sekolah dapat diatasi dan pendidikan pelajar juga tidak akan terganggu.

Bagi guru GSTT tamat tempoh perkhidmatan tahun ini mereka tidak diberhentikan, malah bagi mereka yang sudah menerima surat diberhentikan perkhidmatan, ia akan ditarik balik.
Kita mempunyai guru GSTT yang berkhidmat di sekolah rendah dan menengah. Semua guru direkrut Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, kementerian sudah membuat keputusan tidak membenarkan JPN melatih guru GSTT, sebaliknya akan diselaraskan dengan lebih sistematik.

Mohd Puad berkata, guru GSTT yang sudah lama bertugas diserap ke jawatan tetap secara berperingkat melalui kursus dalam cuti atau Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) berdasarkan tempoh pengalaman bertugas sebagai guru GSTT.

Kementerian akan cuba menyerap guru ini berdasarkan pengalaman mereka bertugas sebagai guru GSTT, sudah tentu keutamaan diberikan kepada guru sudah berkhidmat lebih tiga tahun, katanya.
Sementara itu, mengulas masalah kemudahan asas sekolah di pedalaman, beliau berkata semua bekalan elektrik sekolah di seluruh negara diselesaikan tahun ini.

Namun, bekalan air bersih masih belum dapat ditangani sepenuhnya tahun ini dan kerajaan sudah menyediakan beberapa alternatif bagi menyediakan air bersih kepada sekolah.

(Berita Harian)

Tiada ulasan: