.

Jumaat, 24 September 2010

PENJAWAT AWAM DIGESA PRAKTIKKAN KETERBUKAAN FIKIRAN

PUTRAJAYA 21 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu para penjawat awam mempraktikkan keterbukaan fikiran sebagai kaedah berkesan memastikan matlamat dan agenda kerajaan tercapai.

Perdana Menteri berkata, sikap keterbukaan itu diperlukan dalam usaha kerajaan menghadapi cabaran-cabaran dalam menjayakan empat tonggak utama agenda perubahan kerajaan.

Agenda-agenda itu ialah program "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menarik perhatian bagaimana amalan keterbukaan tidak terhad kepada konsep Rumah Terbuka Aidilfitri, Najib berkata, ia juga boleh dilaksanakan melalui keterbukaan pemikiran.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 kakitangan JPM daripada 48 agensi hadir pada majlis yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri kabinet.

"Kita sebenarnya menghadapi cabaran besar untuk mencapai matlamat dan agenda seperti yang telah saya huraikan dalam empat tonggak utama agenda perubahan kerajaan sebelum ini,'' kata beliau.

Perdana Menteri berkata, dalam kejayaan sesuatu sistem kerajaan adalah bergantung kepada sejauh mana sesuatu objektif itu berjaya dicapai walaupun dengan peruntukan yang kecil.

Juga, kata beliau, kejayaan dalam perkhidmatan awam boleh dicapai tanpa hanya bergantung kepada pertambahan jawatan tetapi sebaliknya cukup dengan menekankan kepada keupayaan produktiviti dengan kakitangan sedia ada.

"Kita tidak perlu melihat jumlah aktiviti yang banyak tetapi yang dipentingkan adalah keberhasilannya (outcome).

"Juga, kita tidak wajar semata-mata melihat kepentingan jabatan kita sahaja iaitu mentaliti silo tetapi sebaliknya (melihat) keperluan keseluruhan jabatan.

(UTUSAN)

Tiada ulasan: