.

Sabtu, 14 Ogos 2010

BIDANG UTAMA EKONOMI DALAM RMK-10

Oleh DATO' SALLEH MAJID
Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Minggu lepas saya dijemput oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) untuk seminar tentang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Penceramah seorang lagi ialah Datuk Mat Noor Nawi, Timbalan Pengarah I, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Beliau telah memberikan penerangan tentang perkara-perkara penting dalam RMK-10 dan saya telah memberikan pandangan saya tentang 12 Bidang Utama Ekonomi. Sebenarnya seminar tersebut bertemakan "Agenda Bumiputera dalam RMK-10".

Dua Belas Bidang Utama Ekonomi atau National Key Economic Areas (NKEA) terdiri daripada Minyak dan Gas, Sawit dan Produk Berkaitan, Perkhidmatan Kewangan, Pemborongan dan Peruncitan, Pelancongan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pendidikan, Elektrik dan Elektronik, Perkhidmatan Perniagaan, Pertanian, Greater Kuala Lumpur.

Kalau kita perhatikan satu persatu bidang penting yang bakal menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi dalam RMK-10, hanya ada beberapa bidang saja yang mungkin Bumiputera (bukan agensi Bumiputera atau GLC) boleh menceburkan diri. Bidang-bidang ini mungkin Pelancongan, Pendidikan, Perkhidmatan Perniagaan dan Pertanian.

Dalam Minyak dan Gas, penyertaan Bumiputera dalam bidang ini memang terhad. Mungkin kalau ada pun setakat perkhidmatan saja, bekal ini bekal itu saja. Khabarnya ada kira-kira 28 vendor Bumiputera yang terbabit tetapi dengarnya sekarang tidak ada keperluan untuk sesiapa mengambil rakan kongsi Bumiputera lagi untuk layak jadi vendor.

Kalau nak cakap pasal cari gali, pembekalan rig minyak atau petrokimia memang jauh sekali. Pendeknya pembabitan dalam bidang ini memang terhad sekali. Kalau sektor hilirannya, kedai (stesen) pam minyak ada jugalah. Melainkan lokasi mereka bukan di tempat yang paling sibuk dengan trafik, pendapatan mereka tidaklah seberapa.

Mungkin mereka yang tolong cari tanah untuk syarikat minyak buka kedai pam minyak mendapat keuntungan lebih tinggi daripada operator kedai pam minyak.

Sesetengah syarikat minyak asing bukan hendak bertolak ansur sangat pasal memberikan kepada Bumiputera. Mereka lebih rela memilih wakil mereka sendiri selain menjalankan operasi sendiri.

Di sini kekurangan modal dan kepakaran menjadi faktor utama menghalang pembabitan dalam bidang ini. Harapan hanyalah tertumpu kepada Petronas dan Boustead.

Dalam bidang Sawit dan Produk Berkaitan, tentang penyelidikan untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi misalnya memang jauh sekali, penyelidikan untuk membentuk satu produk baru hanya mampu dilakukan oleh syarikat-syarikat seperti Sime Darby dan Felda sahaja. Di sini pembabitan Bumiputera hanyalah setakat selaku pekebun kecil. Bidang ini dikuasai oleh ladang-ladang besar seperti IOI, Sime Darby, Tradewinds dan Johor Corps.

Tentang Perkhidmatan Kewangan pula, pada suatu ketika dulu ramai juga pembabitan Bumiputera dalam bidang syarikat broker saham. Malangnya selepas dinaikkan modal berbayar untuk syarikat broker saham, ramailah termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri yang dapat lesen yang menjual kepada orang lain. Hari ini tinggal tiga saja syarikat broker saham Bumiputera, iaitu K&N Kenanga, Seagroatt and Campbell dan Sarawak Securities Sdn Bhd.

Bidang perbankan bukannya sesuatu yang mudah untuk diceburi kerana memerlukan modal yang besar, jadi tinggallah hak Bumiputera dengan yang dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad seperti Maybank dan CIMB.

Dalam syarikat pengurusan aset pun tidak terdapat penyertaan Bumiputera secara keseluruhan, hanya mungkin berserta dengan orang lain.

Pemborongan dan Peruncitan merupakan suatu lagi bidang yang kita maklum dikuasai oleh syarikat-syarikat besar seperti Tesco, Carrefour dan Giant. Mereka ini telah melenyapkan banyak kedai kecil yang diuruskan oleh individu Bumiputera.

Kita juga tahu bidang pemborongan memang dikuasai oleh persatuan-persatuan begitu juga peruncitan sehinggakan mereka berani mengugut kerajaan semasa kes gula hendak dikenakan lesen dengan mahu memboikot jualan gula kalau tidak mengikut kehendak mereka.

Begitu kuat persatuan-persatuan peruncit dalam pelbagai bidang ini sehinggakan saya tidak nampak bagaimana Bumiputera hendak menembusi kecuali dengan diberikan sokongan yang kuat supaya ramai lagi jumlah pesaing dalam pasaran.

Misalnya dalam bidang bahan binaan. Walaupun kontraktor Melayu, tetapi dia terpaksa juga mendapatkan bekalan bahan binaannya daripada bukan Melayu. Dan harga ikut suka yang menjual saja.

Sesetengah bahan binaan seperti besi dan simen memang boleh dikatakan dikuasai oleh kartel. Seharusnya bahan-bahan ini dibuka untuk dibawa masuk supaya harganya tidak ditentukan oleh beberapa pengeluar saja.

Bidang Pemborongan dan Peruncitan ini merupakan suatu nadi utama dalam saluran ekonomi negara dan wajar dipecahkan penguasaan pihak-pihak tertentu dengan memberikan peluang terbuka supaya dapat ditambahkan pesaing dalam pasaran.

Mungkin dalam bidang Pelancongan, Bumiputera boleh juga turut serta dalam syarikat jelajah dan perjalanan, homestay dan eko pelancongan (hutan, gunung dan laut). Bagaimana pun tahap perkhidmatan perlu ditingkatkan berdasarkan dengan apa yang ada sekarang.

Kebanyakan syarikat pelancongan Bumiputera bergantung kepada kerajaan dan jika dibandingkan dengan bilangan pelancongan yang dibawa masuk misalnya dari China, memang bilangan pelancongan yang mereka kendalikan tidak seberapa.

Sebenarnya bidang ini merupakan suatu bidang yang lumayan dengan hampir 24 juta pelancong telah masuk ke negara kita. Kita juga melakukan pelbagai jenis promosi di luar negara seperti festival dan pameran. Reka bentuk struktur dan pembinaan serta perhiasan yang diperlukan juga sebahagian besar daripada perbelanjaan Kementerian Pelancongan.

Untuk bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi, walaupun kita mempunyai ramai graduan dalam bidang teknologi maklumat tetapi dari segi keusahawanan, bilangannya masih terlalu kecil. Lihat saja berapa kedai Bumiputera yang ada di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur yang hampir satu bangunan itu berkaitan dengan teknologi maklumat.

Dalam bidang Komunikasi seperti radio dan televisyen memang tidak ada individu Bumiputera dalam bidang ini. Kalau kita lihat televisyen jenis Astro memang tidak ada persaingan.

Astro memonopoli bidang ini dan sesiapa yang cuba hendak masuk bidang ini, tidak akan dapat isi program kerana kebanyakannya sudah diperolehi oleh Astro.

Kalau bercakap tentang Pendidikan, kita dapati sudah banyak institusi pendidikan pengajian tinggi swasta, lebih banyak daripada yang awam. Sekolah persendirian ada juga yang dikendalikan oleh Bumiputera tetapi sekali lagi jumlahnya kecil sekali.

Apa yang membimbangkan tentang institusi pengajian tinggi swasta ini ialah sama ada kualiti mereka terjaga dan terpantau kerana dalam kegigihan untuk membuat keuntungan, mungkin terdapat mereka yang mengorbankan kualiti yang dipilih masuk dan yang diberikan ijazah keluar.

Terdengar cerita ada yang tidak mahu pelajar mereka digagalkan, dan ada yang publisiti saja lebih hebat daripada keadaan sebenar dan ada juga yang keluar patut jadi jururawat tetapi tak tahu menahu tentang kejururawatan.

Bidang pendidikan ini terlalu penting kerana ia membabitkan pembangunan modal insan. Mereka yang diambil mengajar pun baik untuk institusi pendidikan awam atau swasta wajar dipantau bagi memastikan matlamat kita tercapai.

Di sini kita dapati pembabitan Bumiputera dari segi tenaga pengajar memang ramai. Dan jumlah pelajar Bumiputera dalam institusi awam pun memang ramai tetapi dalam institusi swasta agak terhad.

Kita berhajat menjadikan Pendidikan sebagai suatu hab ekonomi negara. Ertinya ada kelebihan persaingan berbanding dengan negara-negara lain bagi kita tonjolkan selain daripada kos pengajian yang lebih murah. Mutu pengajian menjadi tunggak utama.

Bidang Elektrik dan Elektronik agak terhad kepada wakil peniaga saja bagi Bumiputera kerana pengeluar utama adalah syarikat asing. Sesiapa menceburi bidang ini memerlukan modal dan kepakaran yang tinggi dan rasanya tidak ramai syarikat Bumiputera yang bakal memasuki bidang ini.

Di bidang-bidang tertentu Perkhidmatan Perniagaan, penyertaan Bumiputera diperlukan bukan selaku pekerja tetapi selaku pemilik. Syarikat-syarikat pengiklanan dan perhubungan awam misalnya banyak dikuasai oleh syarikat asing dan mereka ini menguasai suatu aspek sosial yang mampu melentur pemikiran masyarakat melalui iklan dan perhubungan awam mereka. Ada masa-masanya dengan tidak disedari.

Syarikat-syarikat pendaftaran, juruaudit, penasihat cukai memang boleh diceburi oleh Bumiputera. Begitu juga perkhidmatan yang berkaitan dengan kejuruteraan serta pembinaan seperit Arkitek, QS dan Penyelenggara. Malahan kita lihat ramai yang terlibat dengan perkhidmatan di luar negara. Di sini memang ada ruang untuk penyertaan Bumiputera lagi.

Pertanian merupakan satu lagi bidang yang perlu diceburi dengan gaya teknologi moden dan penghasilan yang lebih tinggi. Sesuatu skim perlu mengambil kira penyertaan ramai kalangan petani yang juga merupakan pemilik kecil ladang dan sawah. Kalau penyertaan bermaksud penggabungan supaya tiada siapa akan rugi, apa pun sebaliknya hasil akan meningkat, ini patut digalakkan.

Penggabungan juga akan membolehkan penyelidikan dilakukan secara berkelompok, hasil penyelidikan dikongsi bersama.

Kita masih mengimpot banyak barang makanan yang boleh dihasilkan di negara kita sendiri.Pertanian juga perniagaan.

(UTUSAN)

Tiada ulasan: