.

Isnin, 9 Ogos 2010

1000 GURU MOHON KELUAR SARAWAK

Kementerian Pelajaran menerima hampir 1,000 permohonan daripada guru terutama yang berasal dari Semenanjung yang mahu ditukarkan dari Sarawak setiap kali proses perpindahan dilaksanakan pada Januari dan Jun setiap tahun.

Jumlah itu dilihat terlalu tinggi berbanding jumlah guru baru dari Semenanjung yang dibawa masuk iaitu hanya 100 orang setiap kali proses pertukaran dilaksana.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sebahagian besar permohonan dadalah dari guru berasal dari Kelantan.

“Kementerian pernah menerima hampir 4,000 permohonan daripada guru yang berasal dari Kelantan yang merayu ditempatkan di negeri asal mereka, sedangkan kekosongan di negeri terbabit hanya sekitar 50 orang.

“Bagi menangani isu pertukaran ini, kementerian terpaksa menggunakan pendekatan kemanusiaan dan mengetepikan keperluan. Ini kerana ada antara guru terbabit memohon untuk bertukar akibat masalah keluarga selain alasan sakit,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga pendidik daerah Song di Sekolah Menengah Kebangsaan Song di sini, malam kelmarin.

Mohd Puad berkata, bagi mengatasi isu pertukaran guru itu, Kementerian melaksanakan sistem kuota untuk pengambilan guru baru iaitu masing-masing 30 peratus untuk Sabah dan Sarawak, manakala 40 peratus bagi Semenanjung.
Selain itu, kementerian juga berhasrat untuk mengimbangkan pengambilan guru lelaki dan wanita kepada 50-50.

“Tahun ini adalah tahun pertama kita melaksanakan sistem kuota serta menambah pengambilan guru lelaki, tetapi kita masih belum mencapai matlamat itu kerana terlalu banyak masalah yang dihadapi.

“Kita perlu lebih ramai guru lelaki untuk dihantar ke luar bandar. Ini kerana ketika ini, sebahagian besar guru yang bertugas di pedalaman adalah guru wanita.

“Nampaknya, sasaran kita untuk meningkatkan jumlah guru lelaki juga masih belum tercapai,” katanya.

(BERITA MINGGU)

Tiada ulasan: