.

Isnin, 19 Julai 2010

PROGRAM KEBOLEHPEKERJAAN GRADUAN UNTUK SISWAZAH

SEGAMAT 17 Julai - Kementerian Sumber Manusia hari ini melancarkan 'Program Kebolehpekerjaan Graduan' bagi membantu kira-kira 30,000 siswazah yang gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian.

Program kursus selama kira-kira enam bulan yang tertumpu kepada lepasan diploma dan ijazah itu akan melengkapkan mereka dengan kemahiran nilai tambah dan jaminan pekerjaan selepas tamat kursus.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam (gambar) berkata, program tersebut akan dilaksanakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan ia akan diperluaskan di seluruh negara.

"Buat permulaan, kursus ini akan menempatkan kira-kira 1,000 siswazah yang masih menganggur untuk mendapat pengkhususan nilai tambah serta peluang pekerjaan.

"Yuran kursus ini akan ditanggung penuh kerajaan dan para pelatih akan turut mendapat elaun bulanan sebanyak RM500," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kebolehpekerjaan Graduan peringkat daerah di sini hari ini.

Jelas Subramaniam, kementeriannya yakin kemahiran nilai tambah yang dimiliki para siswazah akan dapat membantu golongan berkenaan mendapat kerja dan lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

"Antara kemahiran baru yang kami tawarkan dalam program ini adalah ICT (teknologi komunikasi maklumat), rekaan web, rekaan grafik, sijil dalam pengurusan logistik, pengurusan pelancongan dan juga pengurusan eksekutif," katanya.

Menurut beliau, program latihan berkenaan akan membabitkan tiga komponen utama iaitu latihan dalam kelas, latihan di premis majikan dan penempatan pekerjaan.

Jelasnya, secara keseluruhan, kerajaan mengeluarkan peruntukan RM10 juta bagi membiayai program tersebut dan ia berbeza dengan program terdahulu kerana ia tidak tertumpu kepada kemahiran komunikasi semata-mata.

"Saya berharap siswazah yang menyertai program ini akan mengambil peluang tersebut secara serius. Kita tidak mahu apabila mereka ditempatkan kerja, hanya untuk kekal selama tiga bulan dan lompat ke tempat baru tanpa peluang meningkatkan lagi kerjaya," katanya.

Beliau memberitahu, program tersebut bermatlamat melahirkan tenaga kerja yang komited dan mampu meningkatkan produktiviti negara selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE).

Katanya, berdasarkan perangkaan terkini Kementerian Pengajian Tinggi, terdapat kira-kira 30,000 siswazah dalam pelbagai bidang di negara ini yang masih gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian.

( MINGGUAN MALAYSIA)

Tiada ulasan: