.

Rabu, 17 Mac 2010

UPM JUARA DEBAT PERDANA INTEGRITI 2010

KOTA KINABALU 16 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini dinobatkan sebagai juara pertandingan Debat Perdana Integriti 2010 selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

UPM yang diwakili oleh Mohd. Syamsul Salleh, Ammar Redza Ahmad Rizal dan Amiruddin Abd. Rahman berjaya membawa pulang piala dan wang tunai RM6,000, manakala pasukan UIAM menerima piala dan wang tunai RM4,000.

Pertandingan yang melibatkan 27 institusi pengajian tinggi dari seluruh negara itu turut menyaksikan pendebat daripada UPM, Mohd. Syamsul Salleh dipilih sebagai pendebat terbaik.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Mohd. Syamsul, kemenangan pasukannya itu merupakan kemenangan pertama bagi UPM dalam pertandingan debat Perdana Integriti sejak ia dianjurkan pada 2005.

Katanya, kemenangan itu adalah hasil usaha keras pasukan tersebut sejak lebih dua tahun dalam membentuk pasukan pendebat universiti.

Pertandingan Debat Perdana Integriti dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM).

Objektif pertandingan itu adalah untuk mempromosi serta membudayakan etika dan integriti di kalangan warga kampus.

(Utusan Malaysia)


Tiada ulasan: