PUTRAJAYA 5 Mac - Peserta dari China, Zhang Song muncul sebagai juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 bagi kategori antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Sementara peserta dari Malaysia, Mohd. Syazwan Shuhaimi pula dinobatkan sebagai juara bagi kategori Nusantara dalam pertandingan peringkat akhir yang disertai lapan peserta, malam ini.
Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM17,500, piala pusingan dan piala iringan.
Naib johan kategori antarabangsa dimenangi oleh Natalya Budanova dari Rusia dan tempat ketiga menjadi milik peserta dari Jerman, Josee Hunnekes.
Bagi kategori Nusantara, Naib Johan dimenangi oleh peserta dari Kemboja, Chai Lany Sles, manakala tempat ketiga dimenangi Leonora Lydia Gebby Wentuk dari Indonesia.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,500 dan RM7,000 dengan piala iringan untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.
Zhang Song ketika ditemui menyifatkan kemenangannya itu ibarat satu mimpi kerana kebanyakan peserta hebat-hebat belaka.
"Saya amat berterima kasih kepada tenaga pengajar, antaranya Prof. Awang Sariyan di Universiti Beijing.
"Saya suka Malaysia dan berharap akan menyertai lagi pertandingan ini pada masa depan,'' katanya.
Sementara itu, Mohd. Syazwan menyifatkan kemenangannya sebagai satu keajaiban kerana dia bukan peserta pilihan sejak dari peringkat saringan lagi.
"Saya tak sangka menang apatah lagi ini merupakan penampilan pertama saya ke pertandingan ini,'' katanya.
(Utusan Malaysia)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan