.

Sabtu, 6 Februari 2010

11 BARANG KAWALAN TAHUN BARU CINA 2010

PUTRAJAYA 3 Feb.2010 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan 11 jenis barang harga terkawal di bawah skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina berkuat kuasa 10 hingga 21 Febuari ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 11 barang itu termasuk perut babi dan daging babi yang buat pertama kali diperkenalkan dalam skim berkenaan.

"Harga maksimum runcit bagi perut babi ialah RM20 sekilogram di Semenanjung manakala di Sarawak serta Sabah harganya antara RM16 dan RM20 dan di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan pula RM23 sekilogram.

"Harga bagi daging babi pula RM14 sekilogram di Semenanjung, di Sarawak dan Sabah antara RM10 dan RM16 sekilogram dan di WP Labuan RM20 sekilogram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe.

Menurut Ismail Sabri, berikutan daging babi buat pertama kali dimasukkan dalam senarai barang kawalan, peniaga daging babi dikehendaki mendapatkan lesen khas yang boleh didapati secara percuma di semua pejabat kementerian.

Menurutnya, barang lain ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, dan C, kubis bulat import dari Indonesia dan China kecuali jenis Beijing, ikan bawal putih serta udang putih besar.

Kata beliau, daging lembu tempatan dan daging kerbau import (India) digugurkan daripada skim kawalan harga barang kawalan kerana didapati kurang relevan untuk perayaan Tahun Baru Cina.

"Peniaga perlu mematuhi syarat-syarat lesen antaranya mempamerkan plat tanda berwarna merah jambu, mempamerkan lesen dan tidak menjual harga barang kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan," katanya.

Tegasnya, tindakan akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan.

"Bagi orang perseorangan, mereka boleh didenda sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

"Kesalahan ini juga boleh dikompaun sehingga RM7,500 manakala bagi pertubuhan pula denda maksimumnya ialah RM25,000," jelasnya.

Dalam hubungan ini, beliau memberitahu, pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk tujuan pemeriksaan serta pemantauan.

Bagi sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkannya melalui e-aduan@kpdnkk.gov.my, khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32255, talian bebas tol 1-800-886-800 atau mana-mana pejabat penguat kuasa kementerian di seluruh negara.

(UTUSAN)

Tiada ulasan: