.

Rabu, 6 Januari 2010

UiTM PERKENAL 200 PROGRAM BARU TERMASUK DETEKTIF PERUBATAN

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan memperkenalkan 200 program baru di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda termasuklah kursus-kursus yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana universiti awam tempatan seperti detektif perubatan (medical detective) dan program ijazah berkembar.

Naib Canselornya, Datuk Profesor Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, beberapa program itu seperti program detektif perubatan akan mula ditawarkan pada pengambilan Jun/Julai tahun ini.

"Kita akan memperkenalkan lebih 200 kursus baru termasuk program detektif perubatan. Perkara ini telah saya maklumkan kepada jawatankuasa eksekutif UiTM pada hari pertama saya memulakan tugas.

"Para pensyarah dan pegawai universiti bertanya tidakkah langkah ini terlalu drastik, tapi saya jawab bukan drastik cuma deras sikit...," katanya sambil tersenyum dalam satu temuramah eksklusif dengan mStar Online hari ini.

Beliau menambah, sekiranya universiti masih mengekalkan kursus-kursus yang sedia ada tanpa sebarang perubahan mereka tidak akan dapat mengejar perubahan yang pantas berlaku dalam industri.

"Tapi kalau kita masih di takuk yang lama, kita tak akan capai apa yang kita nak," katanya lagi.

Ditanya sama ada UiTM bersedia dari segi prasarana dan tenaga pengajar bagi memenuhi keperluan tersebut, beliau berkata: "Perkara ini tak susah, kita memang ada fasiliti yang cukup.

"Sebagai contoh bagi program detektif perubatan, kita boleh mendapatkan tenaga pengajar dan pakar-pakar forensik terkenal dari luar negara.

"Dari segi masa pun kita tak ada masalah kerana pada tahun pertama pelajar akan belajar subjek sains tulen dahulu, jadi dalam tempoh setahun kita sudah boleh siapkan keperluan ini semua. Kita tak perlu tunggu semua siap baru tawar program," katanya.

Antara program baru lain yang akan ditawarkan ialah kewartawanan penyiaran, majalah, surat khabar dan kewartawanan media baru (online); sistem komunikasi digital; ekonomi forensik; sains analitikal dan farmaseutikal serta teknologi nuklear.

Prof Dr Sahol dilantik menjadi Naib Canselor UiTM yang baru berkuat kuasa 1 Januari menggantikan Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember lalu setelah berkhidmat hampir 10 tahun.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik UiTM (2004-2007) sebelum dilantik sebagai Pengarah Pejabat Pengurusan Program Kementerian Pengajian Tinggi pada Januari 2008.

Selain itu, mengulas mengenai program ijazah berkembar pula, beliau berkata perkara itu adalah bagi memastikan graduan UiTM menjadi pilihan utama pihak industri.

"Contohnya program perakaunan dan undang-undang, kejuruteraan dan senibina boleh dikombinasikan menjadi ijazah berkembar ataupun kombinasi di antara kewangan dan undang-undang.

"UiTM mampu melakukannya kerana kita sudah mempunyai kurikulum asal, kita hanya perlu cantumkan program-program itu pada tahun ketiga atau keempat pengajian sebagai subjek elektif dan sudah pasti penambahan masa diperlukan bagi melengkapkannya mungkin dari tiga tahun kepada empat tahun bagi melayakkan mereka memperolehi ijazah berkembar," katanya.

Tambah Prof Dr Sahol, UiTM juga sedang merangka pelan bagi memastikan para pensyarahnya menerima latihan industri sebagai nilai tambah kepada pelajar.

Malah menurutnya, jalinan antara pihak industri dan UiTM juga akan dipertingkatkan dengan segera termasuk melibatkan pensyarah.

"Perubahan perlu berlaku, bukan sahaja bagi pelajar malah kepada pensyarah... saya akan usahakan supaya pensyarah UiTM diberi latihan industri dan mungkin ini akan menjadi salah satu kriteria untuk kenaikan pangkat.

"Mereka perlu mendapat pengalaman yang lebih luas. Bagi saya pensyarah kena ada pengalaman industri hanya dengan itu mereka akan menjadi guru yang baik dan dalam konteks ini saya akan bawa industri kepada UiTM dan banyak kerjasama akan dijalinkan antara UiTM dan industri," katanya.

(MSTAR)

Tiada ulasan: