.

Selasa, 26 Januari 2010

TERDESAK PERLUKAN WANG? PILIH AR RAHNU DARIPADA AH LONG

Pada saat keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, pelbagai kaedah pinjaman wang dicari pengguna sebagai cara mendapatkan wang dengan kadar segera.

Selain ceti dan Ah Long, pajak gadai juga menjadi pilihan. Bezanya, mereka yang ke pajak gadai ini ialah dari kalangan individu yang memiliki emas untuk dicagarkan.

Sayangnya, niat awal untuk menebus kembali barang yang dicagar mungkin tidak tercapai menyebabkan ramai yang terpaksa melepaskannya walaupun ia barang yang berharga dan diwarisi turun-temurun.

Ini antara kelemahan sistem pajak gadai yang melibatkan kaedah konvensional.

Asal mulanya kewujudan pajak gadai di Malaysia ialah sewaktu awal kurun ke-19, iaitu oleh pendatang Cina yang bekerja di lombong bijih timah di Semenanjung Malaysia.

Ia dianggap sebagai satu cara bagi mendapatkan pinjaman tunai segera terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.

SKIM ALTERNATIF

Sistem pajak gadai ini sangat popular kerana tidak memerlukan prosedur atau lebih mudahnya, perjanjian di antara pemberi pinjaman dengan peminjam berlaku tanpa banyak kerenah.

Bagaimanapun, sistem tradisional ini terbukti membebankan peminjamnya apabila mengenakan kadar faedah yang tinggi, lebih-lebih lagi kepada umat Islam yang sememangnya tidak boleh melibatkan diri dengan sebarang amalan kewangan yang melibatkan riba.

Satu-satunya alternatif buat umat Islam ialah dengan menggunakan perkhidmatan pajak gadaian Ar Rahnu.

Skim Ar-Rahnu atau sistem pajak gadai Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia.Ia diperkenal oleh Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YPEIM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 27 Oktober 1993.

Yayasan itu bertindak sebagai pelabur utama dana, penyelaras sistem, latihan dan promosi manakala pelaksanaannya dilaksanakan oleh Bank Islam (M) Bhd.

Skim itu merupakan alternatif kepada orang ramai khususnya yang berpendapatan rendah yang mengalami kesulitan kewangan, khususnya untuk modal perniagaan secara kecil-kecilan.

Ia juga sumber untuk membiayai pendidikan di samping membebaskan umat Islam daripada amalan riba dan manipulasi oleh pengamal pajak gadai konvensional yang tidak jujur.

Malah sebagai pelopor kepada sistem ini, ia dianggap mampu menjadi alternatif terbaik kepada umat Islam dan rakyat negara ini daripada terjebak dengan ceti haram dan Ah Long.

CAGAR EMAS DENGAN BANK

Bagi mereka yang masih belum memahami Ar Rahnu, ia adalah sistem pajak gadai Islam yang membolehkan orang ramai yang memerlukan wang segera mencagarkan barangan kemas yang terdiri daripada emas kepada pihak bank.

Ar-Rahnu merupakan satu perniagaan pajak gadai Islam yang menawarkan pinjaman tanpa sebarang faedah tetapi hanya sekadar dengan upah simpan yang rendah.

Malah jumlah gadaian yang ditawarkan juga tinggi dengan tempoh gadaian yang fleksibel.Bank lazimnya menawarkan kadar pinjaman sehingga 60 peratus (bergantung kepada bank) daripada nilai emas itu.

Para peminjam pula tidak akan dikenakan sebarang faedah di atas pinjaman itu sebaliknya pihak bank akan mengenakan upah simpanan berdasarkan nilai emas.

Sistem pajak gadaian yang berlandaskan hukum Islam ini memberi kelebihan kepada masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan.

Ia telah pun dinilai oleh penasihat syariah yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang Islam.

BOLEH ELAK DITIPU

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd atau lebih dikenali sebagai Bank Rakyat misalnya memperkenal Skim Ar-Rahnu sejak 1993 dengan kerjasama YPEIM.

Menurut Pengurus Skim Ar-Rahnu Bank Rakyat Mohamad Sabri Mohamed Nor, sebelum ini, orang ramai menghadapi pelbagai masalah ketika menggunakan khidmat pajak gadai konvensional kerana syarat-syarat bayaran balik yang ketat serta dikenakan faedah yang membebankan.

"Skim Ar-Rahnu di Bank Rakyat menawarkan pembiayaan bercagar sehingga RM5,000 dengan tempoh maksimum enam bulan yang dibayar sekaligus apabila tempoh itu berakhir," jelas beliau kepada Bernama baru-baru ini.

Pihaknya turut menyediakan skim Az-Zahab, iaitu membabitkan pembiayaan antara RM5,001 hingga RM50,000 yang dibayar balik secara ansuran dengan tempoh maksimum tiga tahun.

"Skim Ar-Rahnu dan Az-Zahab berpotensi untuk muncul sebagai satu daripada alternatif terhadap sistem pajak gadai berasaskan syariah atau konvensional yang sedia ada," tambah beliau.

LELONGAN DIKONGSI

Kedua-dua skim itu yang digubal Majlis Pengawasan Syariah Bank Rakyat dengan kerjasama YPEIM menawarkan pembiayaan secara Islam dan pelanggan dikenakan upah menyimpan barang cagaran berupa emas pada kadar yang berpatutan mengikut kiraan hari, katanya.

Menurutnya jika barang cagaran dilelong, harga lelongan dikembalikan kepada pelanggan selepas ditolak jumlah pembiayaan dan upah menyimpan, menjadikan skim ini lebih telus berbanding skim konvensional.

Kemudahan Skim Pajak Gadai Islam atau Ar-Rahnu turut dikendalikan oleh Bank Islam dan Agrobank. Ia bukanlah bertujuan untuk menggalakkan orang ramai berhutang, tetapi menyediakan kemudahan kewangan kepada orang ramai yang kesempitan wang.

Proses gadaian dilakukan secara telus iaitu di hadapan peminjam dan berdasarkan hukum syarak.

Selain dijamin daripada disalah guna, ia lebih selamat serta terjamin berbanding jika seseorang itu terpaksa mendapatkan khidmat pinjaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

(BERNAMA)

Tiada ulasan: