.

Rabu, 6 Januari 2010

PASANG ALAT KESELAMATAN TAMBAHAN ELAK KERETA DICURI

KUALA LUMPUR: Pemilik kereta mewah dinasihati supaya memasang alat keselamatan tambahan bagi mengelak kenderaan daripada dicuri berikutan peningkatan kes curi kereta mewah yang dilihat semakin ketara di bandar raya sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Azri Abd Rahman berkata pada hari Ahad dan Isnin lepas sahaja empat kereta mewah yang semuanya bernilai hampir RM1 juta dicuri di sekitar bandar raya.

Beliau berkata dalam kes-kes itu penjenayah dilihat tidak lagi menggunakan kekerasan dengan merampas kenderaan di tepi jalan, sebaliknya mereka terus ke rumah pemilik kereta untuk mencuri kenderaan terbabit.

"Penjenayah sanggup memecah masuk ke rumah mangsa sehingga ke bilik tidur sekalipun untuk mendapatkan kunci kenderaan mewah itu, atau akan menggunakan kepakaran mereka membuka kenderaan tanpa menggunakan kunci," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya dalam kejadian pagi Ahad lepas seorang ahli perniagaan yang tinggal di sebuah rumah di Bukit Damansara terkejut apabila tiga kereta mewah miliknya, yang kesemuanya bernilai hampir RM1 juta lesap dilarikan penjenayah.

Azri berkata dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, dua buah kereta Mercedes Benz dan sebuah kereta Honda Civic milik ahli perniagaan itu lesap dari kawasan letak kereta di hadapan rumah ketika tuan rumah sekeluarga sedang nyenyak tidur.

Beliau berkata pada hari Isnin pula, seorang pengurus syarikat yang berumur 48 tahun mendapati kereta milik syarikatnya Toyota Fortuner yang bernilai RM185,000 hilang dari tempat letak kereta di hadapan rumahnya di Kondominium Danau Idaman, Danau Desa, Jalan Klang Lama.

"Selepas pulang dari tempat kerja pada pukul 11.30 malam Ahad (3 Januari), pengurus syarikat itu seperti biasa masuk ke rumah dan tidur, dan keesokannya kira-kira pukul 7 pagi, dia mendapati kereta itu hilang," katanya.

Beliau berkata polis sedang meneliti setiap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lebuhraya di dalam bandar raya dan kawasan-kawasan sekitar bagi mengesan kereta mewah yang hilang itu.

(BERNAMA)

Tiada ulasan: