.

Selasa, 19 Januari 2010

CHONG WEI MENANG PADA TERBUKA KOREA


Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan musim 2010 dengan bergaya apabila meraih gelaran sulung Kejohanan Badminton Super Series Terbuka Korea di Seoul, Korea Selatan, semalam.

Kejayaan menumpaskan juara bertahan, Peter-Gade Christensen dari Denmark 21-12, 21-11 pada perlawanan akhir itu lebih bermakna apabila ia merupakan gelaran sulung pada Terbuka Korea buat Chong Wei sepanjang kariernya.

Sebelum melangkah ke perlawanan akhir, Chong Wei, selaku pilihan utama kejohanan, turut mencipta kemenangan straight set ke atas pemain England, Andrew Smith pada pusingan pertama, Marc Zwiebler dari Jerman (pusingan kedua), Boonsak Ponsana dari Thailand pada suku akhir dan pemain China, Chen Jin pada separuh akhir.

Berikutan kejayaan itu, Chong Wei, 27, akan terus memburu gelaran apabila turun mempertahankan kejuaraan Super Series Terbuka Malaysia yang bermula Rabu ini.

Sementara itu, China masih menguasai kejohanan meskipun tanpa kehadiran bintang utamanya seperti Lin Dan dan Bao Chunlai apabila merangkul tiga daripada lima gelaran yang dipertandingkan.

Wang Shixian merangkul gelaran perseorangan wanita apabila menundukkan pemain bukan pilihan, Sung Ji-hyun dari Korea Selatan 21-10, 25-23 manakala acara beregu wanita pula dimenangi oleh gandingan utama, Cheng Shu-Zhao Yunlei.

Beregu China itu menumpaskan pasangan Jepun, Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa 21-16 21-15 sementara gandingan He Hanbin-Yu Yang mengungguli acara beregu campuran.

Mereka menumpaskan rakan senegara, Tao Jiaming-Zhang Yawen 21-15, 21-16 pada perlawanan akhir.

Beregu lelaki tuan rumah, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae, iaitu beregu pilihan utama kejohanan, menghalang penguasaan China apabila menumpaskan beregu pilihan kelima Cai Yun-Fu Haifeng 21-11, 14-21, 21-18.

(KOSMO!)

Tiada ulasan: