.

Khamis, 10 Disember 2009

POS MALAYSIA BUKA KAUNTER BANK JANUARI 2010

Pos Malaysia Bhd bakal menawarkan perkhidmatan perbankan asas termasuk deposit, pengeluaran dan penghantaran wang serta permohonan pinjaman institusi kewangan, sejajar transformasi perniagaannya, awal tahun depan.

Empat perkhidmatan baru itu adalah sebahagian inisiatif dalam pelan transformasi perniagaan dan penjenamaan semula Pos Malaysia yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, awal 2010.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar, berkata syarikat akan menjadi wakil kepada RHB Bank Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) menerusi cawangannya secara berperingkat di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar terpilih.

"Buat permulaan kami menawarkan perkhidmatan perbankan asas bagi pihak RHB pada suku pertama tahun depan, disusuli oleh perkhidmatan Maybank.

"Ia sebahagian daripada pelan transformasi perniagaan dan penjenamaan semula Pos Malaysia yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri, awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia (Upus) yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat dan Presiden Upus, Suffian Unoss.

Pos Malaysia ketika ini memiliki lebih 1,200 cawangan serta wakil pos di seluruh negara, termasuk di kawasan terpencil.

Syed Faisal menambah, inisiatif transformasi perniagaan yang membabitkan peluasan pelbagai perkhidmatan kaunter itu membabitkan kos antara RM50 juta hingga RM60 juta.

Katanya, inisiatif itu perlu dilaksanakan ke arah meningkatkan daya saing syarikat yang kini tidak hanya tertumpu kepada aktiviti penghantaran.

"Ia juga antara lain membabitkan pengenalan Mesin Automasi Pos (PAM) yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan pelanggan melaksanakan urus niaga pembayaran bil dan sebagainya.

"Untuk terus memperluaskan jangkauan perkhidmatan, kami juga bercadang memperkenalkan 'Pos on Wheel' iaitu kenderaan Pos lengkap dengan sistem satelit bagi menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di luar bandar," katanya.

Terdahulu pada persidangan itu, Suffian turut menyerahkan memorandum mengenai tarif pos atas nama Badan Koordinasi Kesatuan Dalam Pos Malaysia kepada Ahmad Husni untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.

Memorandum itu tanda sokongan terhadap permohonan Pos Malaysia yang dikemukakan kepada Kementerian Penerangan, Komu-nikasi dan Kebudayaan.

Sementara itu, Aseh berkata, Pos Malaysia sudah membuat permohonan kenaikan tarif berkenaan menerusi kementerian berkenaan.

Katanya, tanpa kenaikan tarif yang tidak pernah disemak sejak 1992, agak sukar bagi syarikat menyediakan prasarana terbaik kepada pelanggan serta faedah kepada kakitangannya.

(BERITA HARIAN)

Tiada ulasan: