.

Ahad, 8 November 2009

PENYOKONG NS KESAL DAN KECEWA DENGAN SIKAP PENYOKONG KELANTAN

SEREMBAN: Penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap sebahagian penyokong Kelantan yang bertindak liar pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Timbalan Presiden n9futbol.com (e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan), Mohd Faidzul Mohamad Noh berkata insiden membakar mercun, membaling objek serta membakar tempat duduk dan kain rentang menunjukkan mereka tidak boleh menerima kekalahan.

"Sepatutnya penyokong Kelantan mengambil pengajaran kerana pernah dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan tindakan ganas penyokong mereka," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.


Negeri Sembilan menamatkan penantian 61 tahun untuk muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir itu.

Mohd Faidzul berkata kehadiran penyokong Kelantan pada malam itu seolah-olah bukan untuk menyokong pasukan sendiri, tapi sebaliknya untuk mencetuskan provokasi dan kekecohan.

Katanya usaha melangkah ke final Piala Malaysia adalah satu kejayaan yang amat besar dan sepatutnya penyokong Kelantan mengawal emosi mereka kerana kalah atau menang adalah adat pertandingan.

Beliau mahu FAM mengenakan tindakan lebih drastik terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan berikutan tindakan ganas penyokong mereka.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Wan Mohd Fazamy Azwandy Mohd Razali, turut kesal dengan tindakan sebahagian penyokong Kelantan itu.

"Perkara seperti ini boleh dielakkan jika langkah keselamatan di pintu masuk stadium diperketatkan. Saya harap FAM dan pihak polis mengambil langkah yang lebih serius dalam memastikan perkara ini tidak berulang," katanya.

( Bernama)


Tiada ulasan: