.

Ahad, 1 November 2009

KETUA KERAJAAN BOLEH DIBICARAKAN

Ketua-ketua kerajaan atau negara boleh dibicarakan atas kesalahan jenayah perang kerana mereka tidak kebal dan tidak dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.

Perkara tersebut diputuskan pada Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) hari ini sejajar dengan Artikel 1A, B, C, D Piagam KLWCT.

Dengan keputusan itu, menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) mempunyai tempoh dua bulan untuk menyediakan semua dokumen pertuduhan dan mengemukakan notis kepada pihak yang didakwa penjenayah perang.

“Maka kini terpulanglah kepada pihak suruhanjaya bagi mewujudkan kes dan memberi notis kepada mereka yang dituduh terlibat dalam jenayah perang untuk hadir pada pendengaran tribunal itu nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Pengerusi Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO) - pertubuhan yang bertanggungjawab mengambil inisiatif mengadakan persidangan antarabangsa bertemakan “Menjenayahkan Perang”.

Ia akhirnya membawa kepada penubuhanTribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) bagi membicarakan mereka yang didakwa sebagai penjenayah perang.

Menurut Dr. Mahathir, tribunal tersebut akan berlangsung mengikut prosedur dan undang-undang antarabangsa seperti yang dilaksanakan oleh tribunal-tribunal jenayah perang lain.

Pengerusi KLWCT, Hakim Datuk Abdul Kadir Sulaiman ketika membacakan keputusan itu berkata:

‘‘Tribunal berpendapat ketua-ketua kerajaan dan negara tidak boleh secara sebelah pihak mengatakan ia kebal dan tidak boleh didakwa di bawah undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Geneva ataupun undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.’’

Turut bersidang Hakim Datuk Abdul Kadir Sulaiman (Malaysia), Hakim Tunku Sofiah Jewa (Malaysia), Hakim Francis Boyle (AS), Hakim Profesor Salleh Buang (Malaysia), Hakim Profesor Niloufer Bhagwat (India), Hakim Alfred Lambremont Webre (AS) dan Hakim Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi (Malaysia).

Tribunal bersidang berikutan permohonan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) untuk mendapatkan keputusan sama ada ia mempunyai kuasa untuk mendengar kes yang membabitkan ketua-ketua kerajaan atau negara berkaitan dengan jenayah perang.

Persoalan lain yang dibangkitkan KLWCC adalah sama ada ketua-ketua kerajaan ataupun negara boleh menarik diri dari mematuhi sebarang peruntukan perjanjian atau undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Geneva yang diterimapakai oleh dunia.

Abdul Kadir menegaskan, tribunal berpendapat ketua-ketua kerajaan atau negara juga diliputi oleh undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Geneva dan undang-undang hak asasi manusia.

Tambah beliau, tribunal juga membuat keputusan bahawa ketua-ketua kerajaan atau negara tidak boleh membebaskan diri mereka dari perjanjian ataupun undang-undang antarabangsa.

Katanya, keputusan penuh dan sebab-sebab perkara itu diputuskan oleh tribunal akan dibuat secara bertulis dan boleh diperoleh pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

(MINGGUAN MALAYSIA)


Tiada ulasan: